SHAH ALAM, 19 NOV: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan berjumlah RM30,000 kepada 23 individu yang terjejas akibat kejadian ribut dan kebakaran.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan tersebut sebahagian daripada program bantuan Yayasan MBI yang memasuki siri ketujuh tahun ini.
Jelasnya, selain mangsa bencana, bantuan turut disalurkan kepada atlet cilik dan mahasiswa.

“Inisiatif itu mencerminkan komitmen Yayasan MBI untuk memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan tidak tercicir daripada menerima bantuan, selaras dengan pendekatan 'no one left behind'.
"Walaupun bantuan ini tidak mampu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi penerima, sekurang-kurangnya ia menjadi tanda keprihatinan Kerajaan Negeri menerusi Yayasan MBI.
“Matlamat kita adalah memastikan setiap warga Selangor yang memerlukan bantuan dapat disantuni sebaik mungkin dan tiada yang tertinggal," katanya kepada Media Selangor selepas majlis penyerahan sumbangan di pejabat MBI, hari ini.
Ahmad Azri berkata Yayasan MBI turut memberi tumpuan kepada usaha membantu mangsa banjir, termasuk menyalurkan bantuan dan menyediakan keperluan barangan di pusat pemindahan sementara (PPS).
"Kita banyak turun ke PPS untuk menyerahkan bantuan dan melengkapkan keperluan barangan di pusat berkenaan bagi membantu mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan Sucipto Supan, 35, berkata sumbangan diterimanya akan disimpan sebagai tambahan kepada wang tabungan bagi membina semula rumah pusaka keluarganya yang musnah dalam kebakaran pada Julai lalu.
Katanya, kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan rumah warisan keluarganya di Batu 18, Hulu Langat, sehingga hanya meninggalkan rangka bahagian dapur.
"Rumah itu rumah peninggalan keluarga dan saya tinggal bersama kakak. Selepas kejadian, kami terpaksa menyewa rumah berhampiran kerana rumah asal sudah tidak boleh didiami.
"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu menambah simpanan untuk membina semula rumah berkenaan. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pemimpin setempat yang prihatin dengan nasib kami," katanya.

Dalam perkembangan sama, Penghulu Mukim Jeram, Mohd Rizan Haron berkata lima penduduk di mukim itu menerima bantuan berkenaan, membabitkan dua mangsa ribut dan tiga mangsa kebakaran.
“Kebanyakan penerima terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan, manakala sebahagian mangsa kehilangan kediaman sepenuhnya akibat bencana yang berlaku tahun ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Yayasan MBI yang terus membantu golongan memerlukan," katanya.
Orang ramai yang ingin memohon bantuan boleh menghubungi Yayasan MBI menerusi talian 03-5513 8898 atau e-mel corp_comm@mbiselangor.com.my. Maklumat lanjut mengenai saluran permohonan turut boleh diperoleh menerusi laman web rasmi yayasan di https://www.mbiselangor.com/yayasan-mbi/.
Selain itu, permohonan juga boleh dikemukan melalui ketua kampung dan penghulu mukim masing-masing.








