SHAH ALAM, 19 NOV: Semua pelajar tingkatan enam rendah bakal menerima baucar buku bernilai RM200 menerusi inisiatif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI yang dijadual dilaksanakan mulai Januari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu bertujuan meringankan perbelanjaan pelajar untuk mendapatkan buku rujukan, bahan pembelajaran dan kelengkapan persekolahan.
Menurutnya, baucar berkenaan akan disalurkan dalam bentuk kredit menerusi aplikasi dompet digital NINE yang dibangunkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor.
"Menerusi program ini, setiap pelajar yang terlibat akan menerima kredit RM200 yang dimasukkan terus ke dalam akaun Nine masing-masing.
"Mereka boleh menggunakan kredit itu untuk membeli buku rujukan, bahan pembelajaran, alat tulis dan peralatan persekolahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program penyerahan bantuan banjir Yayasan MBI di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid An-Naim, Jalan Kebun di sini, hari ini.

Azri menjelaskan pembelian menggunakan baucar itu hanya dibenarkan di koperasi atau kedai buku sekolah masing-masing dan tidak boleh digunakan di premis perniagaan luar.
Katanya, pendekatan tersebut turut memberi manfaat kepada pengusaha koperasi serta kedai buku sekolah melalui pembelian barangan keperluan pembelajaran.
"Melalui kaedah ini, manfaat program bukan sahaja diterima pelajar, tetapi turut dapat dirasai koperasi dan kedai buku sekolah menerusi pembelian barangan keperluan pembelajaran.
"Pelajar boleh menggunakan kredit yang diterima untuk mendapatkan keperluan persekolahan masing-masing di premis yang ditetapkan," katanya.
Inisiatif itu merupakan antara usaha Yayasan MBI dalam memperluas sokongan pendidikan menerusi bantuan khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar.
NINE merupakan aplikasi semua dalam satu (super-app) yang dibangunkan MBI Selangor, merangkumi pelbagai perkhidmatan Kerajaan Negeri termasuk dompet digital, urusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan akses kepada program bantuan negeri.








