SHAH ALAM, 7 OKT: Taman Ekstrem Gua Damai kembali menjadi tumpuan penggiat sukan ekstrem antarabangsa apabila menjadi lokasi penganjuran Gua Damai International Base Jump 2026 edisi ke-13 pada 5 dan 6 Oktober lalu.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan 25 penerjun profesional dari dalam dan luar negara, termasuk Itali, United Kingdom, Indonesia, Kanada, Perancis, Turki dan Greece.
Menurut kenyataan penganjur, program anjuran Wira Adventure Consultancy dengan kerjasama strategik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu membuktikan Taman Ekstrem Gua Damai terus mempunyai daya tarikan sebagai lokasi sukan ekstrem bertaraf antarabangsa.
Jelas kenyataan, keunikan landskap batu kapur dan persekitaran semula jadi Gua Damai juga memberi nilai tambah kepada usaha mengetengahkan kawasan berkenaan sebagai salah satu geotapak penting dalam Gombak-Hulu Langat Geopark.
Potensi itu sekali gus membuka ruang untuk Gua Damai diperkasakan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, geologi, sukan dan rekreasi.
Penganjur turut memaklumkan bahawa, antara objektif utama penganjuran program adalah mempromosikan Taman Ekstrem Gua Damai ke peringkat global, selain mengetengahkan sukan ekstrem sebagai produk pelancongan yang berpotensi tinggi.
Inisiatif itu juga dilihat mampu membuka peluang kepada penganjuran lebih banyak program berskala nasional dan antarabangsa di daerah berkenaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, aspek keselamatan peserta turut diberi keutamaan sepanjang program menerusi penyediaan pasukan perubatan (medic) dan pasukan penyelamat (rescue team) yang bersiaga, selain kemudahan kawasan persediaan khas.
MPS berharap penganjuran program bertaraf antarabangsa itu dapat terus memperkukuh kedudukan Gua Damai dalam peta pelancongan dunia, di samping meneroka potensi geologi, rekreasi dan pengalaman komuniti setempat.











