Sukan ekstrem berpotensi jadi sukan identiti MPS

24 Ogos 2026, 11:00 AM
Sukan ekstrem berpotensi jadi sukan identiti MPS
Sukan ekstrem berpotensi jadi sukan identiti MPS
Sukan ekstrem berpotensi jadi sukan identiti MPS

SELAYANG, 24 OGOS: Sukan ekstrem berpotensi dipilih sebagai sukan identiti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sekiranya konsep ‘satu sukan satu PBT’ yang digariskan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dilaksanakan.

Yang Dipertuanya, Shahman Jalaludin berkata cadangan itu mengambil kira kemudahan sukan lasak di Gua Damai Extreme Park, sesuai untuk pelbagai aktiviti termasuk panjat tebing, abseiling (menakik turun), penerokaan gua dan base jumping (terjun dari tempat tinggi).

“Cuma untuk dalam RS-2 itu kita belum dapat lagi secara rasmi arahan daripada pihak Kerajaan Negeri. Namun sukan ekstrem dilihat mempunyai potensi besar untuk diketengahkan memandangkan MPS sudah mempunyai lokasi dan kemudahan yang sesuai untuk pelbagai aktiviti.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Shahman Jalaludin (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Majlis (MPS Bil.8/2026 di Bangunan MPS, Selayang pada 24 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kalau yang sudah matured (matang) sebenarnya Extreme Park di Gua Damai. Kita ada banyak wall climbing (panjat dinding), ada repelling (menakik turun), ada gua dan base jump. Jadi ia sudah matured (matang). Ia memang boleh kita jadikan sukan MPS lah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPS Bil. 8/2026 di sini hari ini.

Menurut Shahman, MPS sememangnya aktif dalam penganjuran aktiviti sukan selain menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan komuniti.

Antaranya termasuk Stadium Selayang yang baru dinaik taraf serta kolam renang di Kompleks Sukan Seri Siantan yang dibuka kepada orang ramai.

Selain itu, MPS juga menganjurkan pelbagai program sukan tahunan membabitkan komuniti termasuk karnival sukan ekstrem dan aktiviti jet ski di Kundang.

Ketika membentangkan RS-2, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) menerusi penekanan konsep ‘satu sukan satu PBT’ bagi menggalakkan rakyat Selangor mengamalkan gaya hidup aktif.

Menurut beliau, inisiatif itu akan memformalisasikan pembangunan sukan komuniti di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), sekali gus memperkukuh ekosistem sukan akar umbi secara bersepadu.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.