Dakwaan tular ladang babi di Taman Rimba Bukit Lagong tidak benar, MPS lapor polis dan SKMM 

31 Okt 2026, 2:10 PM
Dakwaan tular ladang babi di Taman Rimba Bukit Lagong tidak benar, MPS lapor polis dan SKMM 
Dakwaan tular ladang babi di Taman Rimba Bukit Lagong tidak benar, MPS lapor polis dan SKMM 

SELAYANG, 31 OKT: Dakwaan kewujudan kandang ternakan babi di kawasan Taman Rimba Bukit Lagong, Batu Caves, disahkan tidak benar susulan pemeriksaan dan siasatan lanjut dilakukan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

MPS dalam kenyataan dikeluarkan malam ini berkata laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dibuat berkenaan tuduhan itu. 

Semalam, tuduhan itu tular di aplikasi Threads apabila seorang pengguna mendakwa terdapat ladang babi di Bukit Lagong dan tiada tindakan dibuat pihak berkuasa.

Dalam jawapan balas kepada tuduhan itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amiruddin Shari berkata, semakan awal termasuk penelitian gambar udara menggunakan dron yang dilaksanakan MPS tidak menemukan sebarang aktiviti penternakan babi di lokasi berkenaan.

Sebaliknya, hasil pemantauan mengesan dua kawasan yang menjalankan aktiviti penternakan lembu.

Dakwaan tular berkenaan aktiviti penternakan babi di Bukit Lagong. Foto Media Sosial

MPS menerusi kenyataan media malam ini turut memaklumkan pemeriksaan lanjut termasuk pemantauan udara menggunakan dron mengesahkan dakwaan kewujudan kandang ternakan babi di kawasan itu adalah tidak benar.

Pihak berkuasa tempatan itu turut memandang serius penyebaran maklumat tidak berasas yang berpotensi mencetuskan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Tambah kenyataan lagi, orang ramai dinasihatkan supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada umum.

Sebarang aduan atau maklumat berkaitan juga boleh disalurkan melalui saluran rasmi MPS untuk membolehkan pemeriksaan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.