SHAH ALAM, 7 OKT: Penyelarasan lebih baik antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan diperlukan bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu di Lembah Jaya, kata Ahli Dewan Negeri kawasan itu Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad.
Beliau berkata pertemuan terbaharunya bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi tumpuan kepada isu setempat termasuk kenderaan terbiar dan banjir yang turut membabitkan bidang kuasa agensi kerajaan lain.
“Perbincangan kami tertumpu kepada isu yang dibangkitkan dalam MPAJ serta kerjasama antara majlis dengan agensi kerajaan lain.
“Sebagai contoh, isu kenderaan terbiar membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala banjir setempat melibatkan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Syed Ahmad berkata pertemuan itu turut membincangkan bidang kuasa masing-masing selain kaedah untuk meningkatkan kerjasama antara agensi dan PBT.
“Kami turut membincangkan bidang kuasa masing-masing dan bagaimana kita boleh meningkatkan kerjasama antara semua agensi dan pihak berkuasa tempatan serta bagaimana saya sebagai Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya boleh membantu memudahkan penyelarasan dan kerja berpasukan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Penguatkuasaan MPAJ menerusi Facebook memaklumkan pertemuan berkenaan turut menyentuh isu keselamatan, kebersihan dan ketenteraman awam selain kenderaan terbiar di Lembah Jaya serta tindakan yang sudah dilaksanakan bagi menangani masalah itu.
Menurut MPAJ, isu membabitkan warga asing termasuk komuniti Rohingya turut dibincangkan dan memerlukan kerjasama serta tindakan bersepadu bersama agensi berkaitan seperti polis, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.
MPAJ turut memberi perhatian kepada pematuhan lesen premis perniagaan termasuk operasi premis menggunakan konsep ‘Ali Baba’ bagi memastikan semua pihak mematuhi syarat pelesenan dan peraturan ditetapkan, selain membincangkan kehadiran kenderaan berat di jalan raya berkaitan aspek keselamatan, trafik dan tindakan penguatkuasaan bersesuaian.
MPAJ berkata pertemuan dua hala bersama Syed Ahmad mencerminkan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama dengan wakil rakyat dan agensi berkaitan dalam usaha menyelesaikan isu setempat.








