Pelajar jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah sudah sedar - JPN Kedah

6 Okt 2026, 12:25 PM
Pelajar jatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah sudah sedar - JPN Kedah

ALOR SETAR, 6 OKT: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memantau dan sedia bekerjasama penuh dengan polis, berhubung insiden seorang murid lelaki tingkatan satu yang cedera selepas dipercayai terjatuh dari bangunan tingkat tiga sebuah sekolah di Kulim, Ahad lepas.

JPN Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan, murid berkenaan kini dilaporkan sedar dan sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi di hospital.

“Sejurus menerima maklumat, pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu bertindak segera termasuk menghubungi waris, membuat laporan kepada pihak berkuasa serta menyediakan sokongan psikososial kepada murid, keluarga dan rakan-rakan yang terkesan.

“JPN Kedah turut mengambil maklum dapatan awal siasatan polis, bahawa murid tersebut dipercayai berdepan tekanan berkaitan pencapaian akademik. Siasatan masih berjalan dan JPN Kedah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, JPN Kedah memandang serius kesejahteraan emosi dan mental murid serta menyeru ibu bapa dan warga pendidik, supaya peka terhadap perubahan emosi anak-anak dan mendapatkan bantuan jika diperlukan.

“JPN Kedah akan terus memantau perkembangan kes serta memastikan sokongan yang bersesuaian diberikan kepada murid dan warga sekolah. Kita juga mendoakan agar murid berkenaan diberikan kesembuhan,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di Kulim, petang Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Syamsul Sinring dilaporkan berkata kejadian berlaku pada 3.30 petang dan pelajar berusia 13 tahun itu, ditemukan terbaring di aras bawah berhampiran tangga Blok E sekolah.

“Siasatan awal mendapati pelajar itu dipercayai mengalami tekanan berkaitan pencapaian akademik, selain bimbang tidak dapat memenuhi harapan ibu bapanya menjelang peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.