Remaja cedera akibat kerusi ditarik rakan gagal saman RM1 juta terhadap guru, KPM

18 Sep 2026, 7:54 AM
Remaja cedera akibat kerusi ditarik rakan gagal saman RM1 juta terhadap guru, KPM

SHAH ALAM, 18 SEPT: Remaja perempuan yang cedera selepas kerusi hendak didudukinya ditarik rakan gagal dalam saman RM1 juta terhadap tiga guru, seorang guru besar, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Saman itu difailkan remaja berusia 14 tahun bersama bapanya, Wan Amey Shahril Wan Ab Rahman, 39, sebagai plaintif pertama dan kedua, lapor Berita Harian.

Mereka menamakan tiga guru, Ilyana Sari Ridzuan, Suhaida Abdul Rahman dan Aizam Naim Mohd Junid; guru besar, Hamidah Shamsudin; KPM serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keenam atas dakwaan cuai sehingga menyebabkan kecederaan.

Ketika membacakan penghakiman, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun berkata plaintif pertama yang ketika kejadian berusia 11 tahun, jatuh dan mengalami patah tulang femur kiri ketika menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah kebangsaan di sini pada 12 Oktober 2023.

Beliau berkata plaintif mendakwa berlaku kecuaian dan kegagalan memenuhi tanggungjawab menjaga keselamatan murid.

"Guru mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan murid seperti yang ditetapkan undang-undang, namun tanggungjawab itu tidak bermaksud guru dapat menjamin murid tidak akan mengalami kecederaan," katanya.

Anita berkata plaintif tetap perlu membuktikan bahawa kecuaian guru menyebabkan kerugian atau kecederaan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Menurutnya, dakwaan plaintif pertama bahawa kejadian berlaku akibat kegagalan pengawasan sehingga menyebabkan kecederaan tidak berjaya dibuktikan.

"Plaintif pertama sendiri mengakui kejadian berlaku dengan pantas tanpa pertengkaran sebelum itu. Kegagalan pengawasan dan punca jatuh juga tidak dapat dibuktikan," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kronologi kes, rekod perubatan meletakkan waktu kejadian kira-kira jam 10 pagi, manakala ibu mangsa, Azera Yazid, 38, menganggarkan insiden berlaku pada jam 10.40 pagi sebelum tiba di sekolah kira-kira jam 11.20 pagi.

"Mahkamah menerima keterangan bahawa mangsa menerima bantuan, menangis dan kemudian bergerak ke arah bapanya di tingkat bawah bangunan sekolah.

"Prosedur sekolah menyokong tindakan menghubungi ibu bapa, namun tidak mewajibkan bantuan ambulans.

"Setelah mengambil kira bantuan yang diberikan, kehadiran pantas ibu mangsa, pemerhatian guru serta tempoh masa yang berlalu, pengambilan mangsa oleh ibu bapa berbanding pengangkutan kecemasan adalah munasabah," katanya.

Anita berkata tiada kegagalan pentadbiran secara berasingan yang menyebabkan kerugian berjaya dibuktikan, manakala asas yang diperlukan bagi menentukan liabiliti juga gagal dibuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian.

"Tindakan plaintif terhadap kesemua defendan ditolak," katanya.

Dalam prosiding itu, semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan, manakala kedua-dua plaintif diwakili peguam Soffian Azmir.

Pada 4 Ogos 2024, media melaporkan remaja itu yang ketika itu berusia 12 tahun menderita hampir setahun akibat komplikasi kecederaan tulang belakang selepas terjatuh apabila kerusi yang hendak didudukinya ditarik rakannya di sekolah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.