SHAH ALAM, 18 JULAI: Seramai 50 murid berpeluang merasai pengalaman berkebun menerusi Program Eksplorasi Kebun Bandar anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam usaha memupuk minat terhadap bidang pertanian sejak kecil.
Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad berkata program julung kali dianjurkan itu memberi peluang kepada murid mengenali suasana sebenar kebun komuniti serta mempelajari asas pertanian.

“Ini merupakan program julung kali diadakan oleh MBSA, kita cuba untuk memberi pendedahan kepada anak-anak sekolah ini dari segi bagaimana suasananya apabila ke kebun,” katanya selepas Program Eksplorasi Kebun Bandar MBSA di Taman Tanjung Api-Api, hari ini.
Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk menyemai sayur-sayuran, membaja, melihat penternakan ayam serta menangkap ikan keli di dua kebun komuniti iaitu Kebun Komuniti Bukit Bandaraya dan Kebun Komuniti Taman Tanjung Api-Api.

Menurut Shahrin, pendedahan itu penting bagi mendekatkan generasi muda di bandar dengan kegiatan pertanian serta memahami proses penghasilan makanan.
“Kita harapkan program seumpama ini dapat memberi pendedahan kepada mereka dan seterusnya nanti boleh mereka ceritakan kepada keluarga dan juga kawan-kawan tentang pengalaman mereka semasa berada dalam aktiviti ini, menyertai program ini,” katanya.
Beliau berkata MBSA bercadang meneruskan program berkenaan pada masa akan datang, khususnya ketika musim cuti sekolah.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 24 (2), Nur Umairah Syahmina, 13, berkata program itu memberinya pengalaman mempelajari kaedah penanaman secara organik.

“Saya sudah belajar cara nak tanam pokok timun. Mula-mula bubuh tanah, buat lubang, lepas itu letak benih, tutup balik dan siram air,” katanya.
Rakannya, Eisya Summaiyyah Mohd Azrin, 13, pula berkata pengalaman itu menambah pengetahuannya mengenai teknik penanaman sayur dan menyemarakkan minatnya untuk berkebun di rumah.

“Saya nak bawa balik pokok yang mereka bagi dan mahu tanam. Saya nak tanam pokok baru juga seperti pandan. Saya tengok tadi rasa semangat nak buat,” katanya.
Pada program sama, MBSA turut menyalurkan sumbangan RM3,000 kepada Kebun Komuniti Bukit Bandaraya dan Kebun Komuniti Taman Tanjung Api-Api bagi menyokong aktiviti komuniti berkenaan.










