SHAH ALAM, 24 JULAI: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengambil serius insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan murid yang tular di media sosial baru-baru ini.
JPN Selangor memaklumkan kes itu kini dalam siasatan polis dan pihaknya memberi kerjasama penuh bagi membantu proses siasatan.
"JPN Selangor tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku atau keganasan yang melibatkan warga pendidikannya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah," menurut kenyataan jabatan itu hari ini.
JPN Selangor turut memaklumkan intervensi bimbingan dan kaunseling telah dilaksanakan terhadap murid yang terbabit.
Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan.
"Perbuatan menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur yang terlibat dalam kes ini adalah satu kesalahan di bawah peruntukan undang-undang," katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bersama bapanya didakwa dipukul di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan pada 3 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, dilaporkan berkata kejadian berlaku kira-kira 12.45 tengah hari ketika mangsa menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah sebelum dipanggil beberapa pelajar dari sekolah sama.
Mangsa didakwa dikepung dan dipukul sekumpulan suspek sehingga mengalami kecederaan pada bibir, lutut serta lebam di seluruh badan.
Bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul sehingga terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan pada tangan serta kaki.
Susulan kejadian itu, polis menahan beberapa individu bagi membantu siasatan sebelum membawa mereka ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.







