Pembungkusan berkualiti bantu usahawan PLATS tembusi pasaran antarabangsa

6 Okt 2026, 6:22 AM
Pembungkusan berkualiti bantu usahawan PLATS tembusi pasaran antarabangsa
Pembungkusan berkualiti bantu usahawan PLATS tembusi pasaran antarabangsa
Pembungkusan berkualiti bantu usahawan PLATS tembusi pasaran antarabangsa

SHAH ALAM, 6 OKT: Pembungkusan berkualiti mampu meningkatkan daya saing usahawan Platform Selangor (PLATS), mengukuhkan keyakinan pelanggan dan membuka peluang ke pasaran antarabangsa.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata kerjasama strategik PLATS dengan SIRIM Academy Sdn Bhd membolehkan usahawan menambah baik pembungkusan produk mengikut piawaian dan kehendak pasaran.

“Usahawan di Selangor memainkan peranan besar dalam meningkatkan ekonomi serta pendapatan negeri. Inisiatif ini juga menjadi platform motivasi dan sokongan Kerajaan Negeri bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

“Justeru, Kerajaan Selangor komited memberi perhatian khusus kepada golongan usahawan melalui penyediaan pelbagai bentuk latihan serta usaha meningkatkan kualiti produk bagi memenuhi keperluan dan kehendak pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penyerahan Pembungkusan SIRIM kepada usahawan PLATS di Pejabat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata kerjasama antara PLATS dan SIRIM dapat meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk usahawan menerusi penambahbaikan aspek pembungkusan.

Katanya, seramai 25 usahawan daripada 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) berpeluang menyertai program bersama SIRIM Academy bagi meningkatkan nilai tambah serta kualiti produk mereka.

“Usaha ini bukan sahaja mempertingkatkan aspek pembungkusan malah memberi keyakinan kepada usahawan untuk membawa produk mereka ke pasaran yang lebih luas selain meningkatkan imej dan nilai produk agar lebih berdaya saing.

“Produk usahawan PLATS juga akan dibawa ke Malaysia Fair di Jepun dan Paris sebagai usaha memperluas pasaran ke peringkat antarabangsa sekali gus memberi peluang kepada produk tempatan diperkenalkan kepada lebih ramai pengguna di luar negara,” tambahnya.

Program yang julung kali antara PLATS dan SIRIM Academy itu turut mendapat sokongan pembiayaan penuh daripada Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.

Setiap usahawan turut melalui tiga peringkat utama bengkel dari Februari hingga April lalu yang memfokuskan pembangunan reka bentuk pembungkusan berdasarkan kesesuaian, karakter serta keperluan setiap produk.

Reka bentuk berkenaan turut mengambil kira identiti jenama, jenis produk serta keperluan pasaran bagi memastikan pembungkusan yang dihasilkan lebih bersesuaian dengan produk dan sasaran pengguna.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.