Ibu bapa perlu peka perubahan emosi, tingkah laku remaja

27 Ogos 2026, 12:31 AM
Ibu bapa perlu peka perubahan emosi, tingkah laku remaja

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap perubahan pemikiran, emosi dan tingkah laku (P.E.T) anak remaja bagi mengesan tanda mereka berdepan isu kesihatan mental.

Pegawai Psikologi Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka Nur ‘Asyikin Ismail berkata antara tanda yang perlu diberi perhatian adalah apabila remaja kerap mengeluarkan kenyataan negatif mengenai diri sendiri atau mula menjauhkan diri daripada aktiviti sosial.

“Kalau sebelum ini dia selalu keluar bermain atau bersosial dengan kawan, tetapi dalam dua atau tiga minggu dia tidak buat benda itu, kita sudah boleh ambil tindakan kerana ia ‘red flag’ kepada isu kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam episod kelapan Podcast KASIH Lensa Keluarga Musim Kedua bertajuk PEKERTI Negara: Bahasa Kasih Remaja terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi.

Nur ‘Asyikin berkata ibu bapa juga perlu memberikan ruang kepada anak remaja untuk meluahkan perasaan dan mendengar terlebih dahulu tanpa terus menghukum mereka.

“Jangan menghukum sebelum kita mendengar apa yang anak-anak kita cakap sebab kadang-kadang mereka perlukan ruang dan sistem sokongan,” katanya.

Beliau berkata ibu bapa juga perlu menunjukkan empati dan validasi perasaan anak, namun perkara itu tidak bermaksud mereka perlu bersetuju dengan semua yang diperkatakan.

Sebaliknya, beliau berkata ibu bapa perlu mengakui perasaan yang sedang dialami anak terlebih dahulu sebelum membantu mereka mengawal emosi berkenaan.

Ibu bapa juga tidak seharusnya menganggap masalah yang dikongsikan anak sebagai perkara kecil kerana sesuatu yang dilihat mudah oleh orang dewasa mungkin memberikan kesan besar kepada remaja.

Mengenai jurang komunikasi, Nur ‘Asyikin berkata perbezaan generasi, perkembangan teknologi dan perubahan gaya keibubapaan antara faktor yang mempengaruhi hubungan antara ibu bapa dengan remaja.

Beliau berkata remaja kini mudah memperoleh maklumat menerusi Internet dan media sosial, justeru ibu bapa perlu mengikuti perkembangan teknologi serta memantau penggunaan platform berkenaan tanpa terlalu mengongkong.

Mengenai Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI), beliau berkata dasar itu bukan hanya berkaitan seksualiti, malah merangkumi aspek biologi dan sosial serta usaha memberikan kesedaran kepada remaja mengenai penjagaan diri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.