Rakan sebaya barisan pertama kesan mangsa buli - EXCO

18 Sep 2026, 12:00 PM
Rakan sebaya barisan pertama kesan mangsa buli - EXCO
Rakan sebaya barisan pertama kesan mangsa buli - EXCO
Rakan sebaya barisan pertama kesan mangsa buli - EXCO
Rakan sebaya barisan pertama kesan mangsa buli - EXCO
Rakan sebaya barisan pertama kesan mangsa buli - EXCO

PETALING JAYA, 18 SEPT: Rakan sebaya dilihat sebagai barisan pertama yang mampu mengesan seseorang menjadi mangsa buli menerusi perubahan tingkah laku, emosi dan pergaulan.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata pengalaman dibuli boleh memberi kesan berbeza kepada setiap individu, justeru sokongan rakan sebaya penting bagi membantu mangsa berdepan situasi itu.

“Jangan biarkan kawan rasa dibuli. Kita perlu berada di samping mereka supaya mereka tidak berasa keseorangan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Sifar Buli Negeri Selangor dan Pelancaran Inisiatif Hab Rakan Sokongan serta Talian Belia SEHAT, di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi KASIH Malaysia, Dr Wan Azizah dan turut dihadiri pelajar dari beberapa sekolah sekitar Petaling Jaya.

Jamaliah berkata kempen tersebut sebahagian komitmen Kerajaan Selangor dalam melindungi kesejahteraan mental dan fizikal belia, selain mewujudkan persekitaran sifar buli.

Jelas beliau, usaha mencapai sifar buli tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh masyarakat.

“Sifar buli tidak akan tercapai dengan poster tertera tulisan ‘Jangan Membuli’. Ia bermula apabila kita memilih untuk tidak mentertawakan penghinaan orang lain,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat menjadi rakan yang selamat kepada individu lain, khususnya mereka yang mungkin sedang berdepan masalah tetapi tidak mempunyai keberanian untuk bersuara.

“Pendekatan itu selari dengan prinsip Nampak, Dekati dan Hubungkan, yang digariskan sebagai tiga tindakan mudah untuk diamalkan pelajar dalam usaha menangani isu buli,” katanya.

Dalam pada itu, usaha membina persekitaran sifar buli turut disokong menerusi pengukuhan ekosistem bantuan kesihatan mental melalui Program Selangor Mental Sihat (SEHAT).

Dua inisiatif baharu dilancarkan pada program itu, iaitu Hab Rakan Sokongan SEHAT dan Talian Belia SEHAT yang bertujuan menyediakan ekosistem sokongan lebih mudah dicapai masyarakat.

Talian Belia SEHAT merupakan saluran sokongan psikososial percuma khusus untuk golongan belia dan dikendalikan kaunselor berdaftar daripada Pusat Kaunseling Selangor (PKS).

Perkhidmatan itu beroperasi Isnin hingga Jumaat, dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali cuti umum, menerusi talian 1700-82-7536.

Sementara itu, Hab Rakan Sokongan SEHAT menyediakan sesi bimbingan percuma secara dalam talian bersama Rakan Sokongan atau Peer Supporters daripada SAPOT, yang memberi ruang kepada individu untuk didengar dan ditemani serta dihubungkan kepada perkhidmatan kaunseling, psikologi atau psikiatri sekiranya diperlukan.

Rakan Sokongan bagaimanapun bukan kaunselor atau profesional kesihatan mental, sebaliknya individu yang dilatih untuk mendengar, menemani dan menghubungkan klien kepada perkhidmatan berkaitan.

Inisiatif SEHAT 2026 turut menggunakan aplikasi SELangkah sebagai sistem penempahan dan pelaporan berpusat bagi memastikan perkhidmatan di bawah program itu dapat dijejak serta diselaraskan dalam satu ekosistem digital Kerajaan Negeri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.