
Tidak dapat tidak, faktor emosi berupaya memacu motivasi seseorang atlet atau sesebuah pasukan dalam apa jua pertandingan, lebih-lebih lagi dalam temasya sukan berskala besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA).
Keseimbangan itu penting untuk kesejahteraan psikologi ahli sukan. Kepuasan atas pencapaian menambah semangat juang dan mendorong keinginan untuk terus berlatih dan seterusnya bersaing pada peringkat tinggi.
Atlet yang menguruskan emosi dengan baik cenderung memiliki daya ketahanan mental. Mereka lebih mampu menyerap tekanan dan menangani cabaran serta cepat pulih dari kekecewaan atau kegagalan.
Pakar Perunding Psikiatri Hospital Pakar KPJ Klang Dr Khoo Yee Laim menamakan emosi positif antaranya keyakinan diri, kegembiraan dan kepuasan. Elemen itu mampu meningkatkan prestasi.
Sebaliknya, emosi yang gagal diurus boleh menimbulkan tekanan, keletihan mental dan masalah psikologi yang lebih berat. Emosi negatif antaranya kebimbangan, ketakutan atau kekecewaan. Ia juga boleh menjejaskan prestasi.
"Atlet haruslah mengubah cara berfikir dan memberi tumpuan kepada pemikiran positif boleh membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan keyakinan diri," katanya kepada Media Selangor.
Sokongan rakan sebaya, jurulatih atau ahli keluarga juga mempengaruhi prestasi atlet. Mereka berasa didengari dan difahami sekali gus meringankan beban tekanan yang terpikul di bahu mereka.
Tempoh rehat pula penting bagi mengelakkan keletihan dan tekanan berpanjangan. Justeru, atlet perlu memberi tumpuan kepada proses pemulihan selepas latihan atau pertandingan selain pemakanan baik dan kaedah pemulihan fizikal seperti urutan.
Ini kerana atlet yang bermotivasi sentiasa mengekalkan penglibatannya dalam aktiviti fizikal atau sukan. Namun, jurulatih berperanan penting dalam membentuk motivasi mereka melalui pelbagai strategi sepanjang latihan.
Betapa tidak, kejayaan atlet dalam menguasai kemahiran semasa latihan dapat meningkatkan keyakinan dan ia terjelma dalam pertandingan. Pengalaman kejayaan akan menguatkan lagi keinginan atlet bersaing.
Sebenarnya, keyakinan diri ahli sukan boleh dipupuk dalam proses latihan. Misalnya, maklum balas positif jurulatih terhadap tindakan betul dan tepat selain selalu berfikiran positif.
Proses latihan berperingkat juga membina keyakinan atlet untuk menilai keupayaan kendiri. Setelah menguasai kemahiran, mereka akhirnya mengintegrasi penguasaan tersebut, malah tidak gentar membuat perbandingan dengan orang lain.
Namun, latihan berterusan juga boleh menimbulkan kebosanan. Bosan antara musuh utama setiap pemain yang terlibat dalam sukan, menurut Dr Yee Laim. Malah, perasaan kurang seronok boleh mendorong atlet meninggalkan dunia sukan.
Justeru, sesi latihan yang menggembirakan dan peluang mempamer kemahiran baharu dan simulasi pertandingan boleh menghakis masalah itu.
Atlet pula perlu ada matlamat kendiri. Tidak semestinya pencapaian prestasi tetapi dalam bentuk peningkatan kemahiran atau kawalan emosi. Jadi, mereka perlu menetapkan matlamat khusus yang boleh diukur. Ini dapat meningkatkan motivasi.
“Kejayaan atlet boleh dipastikan dengan menstrukturkan aktiviti dalam setiap peringkat latihan. Misalnya, dalam latihan jaringan, saiz gol boleh dibesarkan atau dikecilkan mengikut kebolehan atlet sehingga dia mencapai kejayaan,” katanya.
Rencana pendekatan
Umumnya, kepintaran jurulatih semasa melatih atlet tidak kurang pentingnya. Namun, ia bukan semestinya dalam satu bentuk sahaja sebaliknya gabungan beberapa pendekatan. Sama ada bersifat autokratik yang berpada-pada atau kaedah tegas mahupun bimbingan 'macam kawan'.
Bagi Dr Yee Laim, gabungan ketegasan profesional, bersikap mesra pada masa sesuai dan menjauhi amalan sikap marah-marah yang toksik sebagai pilihan terbaik. Pendekatan hibrid yang bertimbang rasa dan berdisiplin memberi kesan paling optimum terhadap prestasi mental dan fizikal atlet.
Semuanya ada manfaat, kesan dan risiko jika berlebihan. Pendekatan tegas antaranya membina disiplin yang tinggi, memastikan peraturan dipatuhi dan mengekal fokus semasa sesi taktikal atau situasi tertekan.
Ia juga menjadikan atlet lebih serius dalam latihan, patuh arahan dan bersedia menghadapi perlawanan dengan kekuatan mental. Namun, jika berlebihan, atlet mungkin terlalu kaku, mudah tertekan, cepat hilang keyakinan diri atau takut mencuba sesuatu yang baharu.
Pendekatan lebih demokratik 'macam kawan' pula membina rasa percaya, memudahkan atlet meluahkan isu peribadi atau kecederaan serta meningkatkan motivasi dalaman. Atlet juga berasa lebih dihargai, selesa berkomunikasi dan berlatih tanpa takut-takut.
Namun ada risikonya jika amalan tersebut berlebihan. Atlet mungkin hilang rasa hormat lantaran garis batas antara jurulatih dan pelatih agak kabur atau mereka kurang mengambil berat arahan semasa latihan.
Dr Yee Laim juga berpendapat pendekatan marah-marah melampau termasuk tengking berlebihan sebagai toksik. Hampir tiada kelebihan dalam jangka panjang melainkan untuk mencetuskan tindak balas takut serta-merta. Ia juga boleh menimbulkan trauma mental, merosakkan hubungan emosi, bahkan membunuh minat atlet terhadap sukan.
Apapun, dalam apa jua pertandingan, semangat kesukanan perkara terpenting. Ia dapat dicapai melalui penghormatan semua pihak, dari atlet, jurulatih mahupun pegawai acara sukan. Ini termasuk menghormati peraturan perlawanan dengan tidak menipu selain merendah diri apabila memperoleh kemenangan dan menerima kekalahan dengan hati tabah.
Jurulatih dan pegawai sukan harus menjadi suri teladan dengan bersikap profesional dan tidak memprovokasi pengadil atau pihak lawan. Sewajarnya, mereka menghulur pujian terhadap usaha dan disiplin pemain baik saat menang atau kalah. Ini sekali gus mendidik atlet yang rata-rata usia muda untuk mengutamakan integriti berbanding memburu kemenangan semata-mata.







