MPHS tanggung implikasi kewangan RM300,000 demi ringankan beban peniaga

6 Okt 2026, 2:00 AM
MPHS tanggung implikasi kewangan RM300,000 demi ringankan beban peniaga
MPHS tanggung implikasi kewangan RM300,000 demi ringankan beban peniaga

HULU SELANGOR, 6 OKT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menanggung implikasi kewangan kira-kira RM300,000 susulan pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus kepada peniaga medan selera dan gerai milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPHS, Julaihah Jamaludin berkata inisiatif itu bertujuan meringankan kos operasi peniaga serta membantu mereka mengekalkan harga jualan makanan.

Menurut beliau, pengurangan sewa itu dilaksanakan secara automatik sejak Julai lalu.

“Bila Kerajaan Negeri umum, kita terus laksanakan. Diskaun 30 peratus bagi premis medan selera dan gerai sudah dilaksanakan secara automatik sejak Julai.

“Ia memberi implikasi kepada kita dengan kehilangan hasil kira-kira RM300,000 untuk tempoh setengah tahun. Bagi Hulu Selangor, RM300,000 merupakan jumlah yang besar,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Julaihah Jamaludin. Foto Facebook MPHS

Menurut beliau, hampir 90 peratus pembayaran kepada MPHS dibuat secara debit automatik, sekali gus membolehkan potongan berkenaan dimasukkan terus ketika bil dikeluarkan.

Julaihah berkata pelaksanaan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu peniaga yang menyewa premis milik majlis.

“Kita berharap usaha yang dibuat di bawah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 ini dapat memberikan kelegaan kepada peniaga di medan selera dan gerai majlis.

“Kita harap mereka dapat meneruskan perniagaan dengan lebih baik tanpa menaikkan harga jualan makanan,” katanya.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 19 Jun lalu merangkumi 15 inisiatif bagi membantu isi rumah dan perniagaan berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.

Antara inisiatif itu ialah pengurangan kadar sewa 30 peratus selama enam bulan kepada lebih 21,000 peniaga yang menyewa premis di bawah PBT seluruh Selangor.

Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan beban peniaga kecil dalam keadaan ekonomi semasa, selain memastikan manfaatnya turut dirasai pengguna.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.