Selangor rekod aduan alam sekitar tertinggi dengan 4,041 kes

5 Okt 2026, 8:00 AM
Selangor rekod aduan alam sekitar tertinggi dengan 4,041 kes
Selangor rekod aduan alam sekitar tertinggi dengan 4,041 kes

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Selangor merekodkan aduan alam sekitar tertinggi di negara ini dengan 4,041 kes diterima Jabatan Alam Sekitar (JAS) antara 1 Januari hingga 30 September lalu.

Ketua Penolong Pengarah JAS (Penguatkuasaan), Ahmad Saifful Salihin berkata Johor berada di tempat kedua dengan 2,104 aduan, diikuti Perak (1,034), Pulau Pinang (977) dan Kuala Lumpur (894).

Secara keseluruhan, sebanyak 13,296 aduan diterima di seluruh negara bagi tempoh sama.

“Selangor terus merekodkan jumlah aduan tertinggi, dengan keseluruhan 4,041 aduan tahun ini,” katanya ketika pembentangan pada sesi libat urus JAS bersama pengamal media di Hotel Pavilion, hari ini.

Menurutnya, Selangor dan Johor menyumbang kira-kira 46 peratus daripada 72,717 aduan yang direkodkan di seluruh negara antara 2021 hingga September tahun ini.

Bagi 2026, pencemaran udara menjadi kategori utama dengan 11,301 aduan atau 84.3 peratus daripada keseluruhan aduan sepanjang tempoh sembilan bulan itu.

Pembakaran terbuka mencatat jumlah tertinggi iaitu 9,752 aduan, diikuti bau (1,697), habuk (796), pelepasan industri (388) dan asap (117).

Selangor turut merekodkan aduan pembakaran terbuka paling banyak dengan 2,849 kes, disusuli Johor (1,338), Perak (870), Pulau Pinang (792) dan Kuala Lumpur (774).

Ahmad Saifful berkata aduan diterima melalui sistem pengurusan aduan JAS, portal dalam talian, talian hotline dan e-mel.

“Semua aduan yang diterima akan disemak bagi menentukan sama ada ia berasas serta berada di bawah bidang kuasa jabatan,” katanya.

Aduan di luar bidang kuasa JAS pula akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, JAS mengeluarkan 3,567 kompaun bernilai RM2.8 juta setakat 30 September, manakala 238 kes mahkamah melibatkan 236 pertuduhan direkodkan sehingga Julai.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.