Dewan Serendah Makmur RM478,621 siap untuk kegunaan penduduk

5 Okt 2026, 6:39 AM
Dewan Serendah Makmur RM478,621 siap untuk kegunaan penduduk
Dewan Serendah Makmur RM478,621 siap untuk kegunaan penduduk
Dewan Serendah Makmur RM478,621 siap untuk kegunaan penduduk
Dewan Serendah Makmur RM478,621 siap untuk kegunaan penduduk

SHAH ALAM, 5 OKT: Dewan Serendah Makmur bernilai RM478,621.22 kini siap dan diserahkan untuk kegunaan penduduk setempat, sekali gus memperkukuh kemudahan awam bagi komuniti Serendah.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan projek berkenaan disiapkan dalam tempoh lapan bulan iaitu bermula pada 11 November 2025 dan siap pada 17 Julai lalu.

"Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) turut dikeluarkan pada tarikh yang sama," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, penyediaan kemudahan awam ini menandakan usaha MPHS bagi memastikan masyarakat khususnya di Serendah menikmati kemudahan yang selesa, selamat dan kondusif untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Dewan berkenaan dilengkapi satu gelanggang badminton, dua unit tandas lelaki dan wanita, satu tandas OKU serta sebuah stor atau bilik utiliti.

MPHS memaklumkan kemudahan itu turut menerapkan elemen kelestarian menerusi penggunaan Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH).

Majlis Perasmian dan Penyerahan Dewan Serendah Makmur disempurnakan Penyelaras DUN Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad, semalam. Turut hadir Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin.

Julaihah berkata pembangunan Dewan Serendah Makmur merupakan sebahagian daripada komitmen MPHS untuk memastikan hasil yang disumbangkan masyarakat melalui cukai dikembalikan dalam bentuk prasarana yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

"Pembangunan Dewan Serendah Makmur turut mencerminkan pendekatan “Daripada Anda Untuk Anda”, iaitu usaha MPHS mengembalikan hasil cukai kepada masyarakat melalui pembangunan prasarana yang nyata dan berkualiti," jelasnya.

Dalam pada itu, MPHS berharap dewan baharu itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat pengukuhan silaturahim dan perpaduan masyarakat, termasuk untuk program kemasyarakatan, aktiviti belia, sukan, majlis keramaian serta kegiatan pendidikan.

"Penduduk setempat diseru supaya bersama-sama menjaga kebersihan, keselamatan dan keindahan dewan serta mengelakkan sebarang bentuk vandalisme bagi memastikan kemudahan ini terus memberi manfaat kepada generasi akan datang," tegasnya.

Pada masa sama MPHS berharap pengurusan dewan dapat dilaksanakan secara adil, telus dan inklusif supaya proses tempahan serta penganjuran aktiviti berjalan lancar dan kemudahan itu sentiasa dihidupkan dengan program yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.