SHAH ALAM, 5 OKT: Sebanyak 1.85 tan bahan kitar semula berjaya dikumpulkan menerusi Karnival PJ Bandar Mampan dan Bahagia 'Recycle and Redeem' Fasa 3 di Pasar Tani Seksyen 3, Kota Damansara, semalam.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan program yang dirasmikan Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Yazid Sairi itu disertai 402 peserta dan turut merekodkan penebusan kupon bernilai RM18,000.
"Ini sekali gus mencerminkan sambutan positif komuniti terhadap usaha membudayakan amalan kitar semula di Petaling Jaya," katanya menerui kenyataan di Facebook.
Program dilaksanakan dengan bahan kitar semula yang dihantar oleh peserta ditukarkan kepada kupon ganjaran untuk pembelian barangan keperluan harian daripada peniaga pasar tani yang mengambil bahagian.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, penganjuran Fasa 3 itu merupakan kesinambungan dua fasa terdahulu yang telah merekodkan kutipan lebih 3.4 tan bahan kitar semula.
"Pelaksanaan ini memperkukuh usaha MBPJ menggalakkan pengasingan sisa di punca dan mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan," katanya.
Pada masa sama, MBPJ berkata program itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memperluas amalan ekonomi kitaran dalam komuniti serta merealisasikan aspirasi Petaling Jaya sebagai bandar raya rendah karbon, mampan dan berdaya tahan.











