SHAH ALAM, 5 OKT: Johan Setia di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di negara ini pagi tadi apabila mencatat paras tidak sihat 154 setakat jam 7.48 pagi.
Pasir Gudang, Johor merekodkan bacaan kedua tertinggi iaitu 153, diikuti Cheras di Kuala Lumpur serta Batu Pahat dan Larkin di Johor yang masing-masing mencatat 152.
Turut berada pada tahap tidak sihat ialah Putrajaya dengan bacaan 147, Nilai di Negeri Sembilan (124) dan Segamat di Johor (108).
Di Selangor, selain Johan Setia, stesen lain yang disenaraikan masih berada pada tahap sederhana dengan Shah Alam merekodkan 95, Banting (88), Klang (83), Petaling Jaya (79) dan Kuala Selangor (72).
Batu Muda di Kuala Lumpur pula berada hampir ke paras tidak sihat dengan bacaan 99, diikuti Serian, Sarawak pada 98 dan Bukit Rambai, Melaka pada 97.
Secara keseluruhan, lapan lokasi merekodkan kualiti udara tidak sihat berdasarkan data APIMS setakat pagi ini, manakala kebanyakan lokasi lain berada pada tahap sederhana.
Setakat bacaan berkenaan, tiada lokasi dalam senarai yang merekodkan kategori sangat tidak sihat atau berbahaya.






