Keluarga lega TAWAS bantu keperluan pendidikan anak usia 18 tahun

Keluarga lega TAWAS bantu keperluan pendidikan anak usia 18 tahun
Keluarga lega TAWAS bantu keperluan pendidikan anak usia 18 tahun
Keluarga lega TAWAS bantu keperluan pendidikan anak usia 18 tahun
Keluarga lega TAWAS bantu keperluan pendidikan anak usia 18 tahun
Keluarga lega TAWAS bantu keperluan pendidikan anak usia 18 tahun

SHAH ALAM, 4 OKT: Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) membantu meringankan beban keluarga khususnya menyediakan peruntukan bagi keperluan pendidikan anak apabila mencapai usia 18 tahun.

Inisiatif Kerajaan Negeri yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) itu menyediakan manfaat kewangan kepada anak kelahiran Selangor, termasuk bagi menampung yuran pengajian serta pembelian keperluan pembelajaran.

Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM31 juta bagi pembayaran manfaat RM1,500 kepada 21,000 penerima kumpulan pertama TAWAS tahun ini.

Christina Siyamala,43, bercakap kepada Media Selangor selepas program Tuah Tuaian Anak Harapan TAWAS di Pusat Konvesyen KSL, Klang pada 3 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bagi Christina Shiyamalah, 43, bantuan RM1,500 yang diterima anak sulungnya, Vishal Sunthararajan akan digunakan untuk pengajiannya di Akademi Laut Malaysia (ALAM), Melaka.

"Saya gembira anak terima manfaat ini. Ia akan digunakan untuk membayar yuran pengajiannya. Saya harap generasi lain turut menerima manfaat seperti ini," katanya.

Christina Shiyamalah, 43, bersama anaknya, Vishal Sunthararajan, 18, penerima Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS). Foto Christina Shiyamalah/MEDIASELANGOR

Bagi Fatimah Che Kar, 43, bantuan itu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan pendidikan anak.

Suri rumah dari Sijangkang itu berkata anak sulungnya yang kini berusia 18 tahun sudah melanjutkan pengajian dan ia akan digunakan untuk keperluan pembelajaran.

"Bantuan ini bagus kerana boleh digunakan untuk membeli komputer atau keperluan lain dan dapat meringankan beban pelajar serta ibu bapa.

"Sekurang-kurangnya wang ini boleh diberikan kepada anak untuk digunakan bagi perbelanjaannya ketika belajar," katanya.

Fatimah Che Kar, 43, bercakap kepada Media Selangor selepas program Tuah Tuaian Anak Harapan Tawas di Pusat Konvesyen KSL, Klang pada 3 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Shiyamalah Nadarajan berkata wang yang diterima nanti akan digunakan anak yang kini melanjutkan pengajian di ALAM.

Beliau mendaftarkan anaknya pada 2008 ketika menghadiri pameran sewaktu menguruskan sijil kelahiran anak.

“Anak saya berusia 18 tahun Sabtu ini (semalam) dan boleh membuat tuntutan menerusi kad TAWAS yang diberikan ketika mendaftar selain terima e-mel," katanya.

Sementara itu, Chan Wee Hong yang mempunyai tiga anak berkata manfaat tersebut membantu keluarga berdepan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, beliau mengetahui mengenai TAWAS menerusi media sosial sebelum mendapatkan maklumat lanjut daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) di kawasannya.

“Walaupun jumlah bantuan tidak begitu besar, ia dapat membantu menampung kos pembelajaran anak,” katanya.

Dalam pada itu, Kanga Devi berkata beliau bercadang menyimpan wang bantuan itu untuk keperluan anaknya yang mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Saya daftar TAWAS ketika di hospital selepas melahirkan anak pada 2008 dan anak saya juga akan menerima bantuan Sabtu ini (semalam).

"Inisiatif ini sangat membantu khususnya kepada anak daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk golongan B40," katanya.

Sementara itu Amiruddin Md Arif, 49, menyifatkan inisiatif disediakan Kerajaan Negeri itu merupakan tawaran yang bermanfaat untuk membantu anaknya apabila berusia 18 tahun.

Amiruddin Md Arif, 49. Foto AMNI HARITH BADRUL HISYAM

“Permohonan lebih mudah tidak perlu datang ke pejabat wakil rakyat hanya isi secara dalam talian.

“Pada saya ia perlu diteruskan untuk rakyat Selangor. Biarpun anak saya hendak bekerja dahulu tidak mengapa kerana ia boleh digunakan untuk sambung pengajian akan datang atau kegunaan lain,” katanya.

Bagi Rohaimah Ahmad, 50, beliau mengetahui mengenai inisiatif berkenaan sebelum membuat permohonan dengan hadir ke pejabat wakil rakyat.

Penerima Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) Nuradlina Feroz Hanif, 18 bersama ibunya Rohaimah Ahmad, 50. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Apabila mengetahui mengenai inisiatif ini, saya terus membuat permohonan dengan hadir ke pejabat wakil rakyat.

“Daripada manfaat ini, saya dapat menggunakannya untuk urusan anak di universiti. Walaupun jumlahnya tidak seberapa, Alhamdulillah ia dapat membantu melancarkan urusan pengajian termasuk membeli tablet,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.