SHAH ALAM, 4 OGOS: Walaupun program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) ditamatkan sejak 2019, anak kelahiran Selangor masih menikmati manfaat pada nilai yang sama menerusi inisiatif baharu Kerajaan Negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan TAWAS sebelum ini memerlukan Kerajaan Negeri memperuntukkan antara RM50 juta hingga RM60 juta setahun bagi memenuhi komitmen kepada peserta yang berdaftar sejak program itu diperkenalkan pada 2008.
“Sejak TAWAS ditamatkan, lalu kita kemukakan program baharu iaitu Iltizam Anak Selangor, kerajaan sediakan RM500 sebaik mereka lahir dalam SSPN (pelan simpanan pendidikan) yang mana ibu bapa juga boleh menambah wang simpanan mereka.
“Gambarannya, dengan Hadiah Pengajian Intitusi Pengajian Tinggi (bernilai RM1,000) jika anak-anak ini menyambung pengajian ke peringkat ketiga dan kemudian dicampur RM500 minimum (dari SSPN), pada usia 18 tahun mereka akan dapat RM1,500 atau lebih sekiranya ada simpanan lebih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Terdahulu, Amirudin memaklumkan sehingga 20 Julai lalu, seramai 8,642 peserta TAWAS yang lahir pada 2008 telah selesai membuat tuntutan dan menerima bayaran RM1,500 mengikut fasa.
TAWAS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada anak kelahiran Selangor apabila mencapai usia 18 tahun.
Program itu kemudian digantikan dengan inisiatif Iltizam Anak Selangor yang menyediakan simpanan awal RM500 ke dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), selain membolehkan ibu bapa menambah simpanan bagi kegunaan pendidikan anak pada masa depan.







