KUALA SELANGOR, 3 OKT: Kerajaan Negeri bercadang menaikkan elaun guru KAFA daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan sebagai antara usaha meningkatkan kebajikan dan prestasi guru terbabit.
EXCO Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata kertas kerja cadangan itu telah disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan dikemukakan kepada Dato' Menteri Besar untuk pertimbangan.
Katanya, jika diluluskan, pengumuman berhubung kenaikan elaun berkenaan akan dibuat menerusi Belanjawan Selangor 2027, manakala pelaksanaannya dijangka bermula tahun depan.

"Dengan kenaikan gaji tersebut kita juga mengharapkan agar prestasi dan pencapaian PSRA negeri Selangor akan ditingkatkan daripada yang sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Liqa' Mahabbah Guru KAFA Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Klang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Kerajaan Negeri turut mengkaji projek rintis membolehkan seorang guru KAFA mengendalikan dua sesi pengajaran di sekolah yang mempunyai sesi pagi dan petang.
Katanya, model berkenaan sedang dikaji bagi menilai kebolehlaksanaannya, termasuk potensi membolehkan guru terlibat memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding kadar minimum yang dicadangkan.
"Cuma kajian lebih khusus untuk guru yang gajinya lebih besar tetapi mungkin dia kena kendali dua sesi. Yang itu tidak ada keputusan lagi sebab kajian awal harus dibuat dulu," katanya.

Menurutnya, projek rintis itu tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh kerana terdapat sekolah yang mempunyai dua sesi persekolahan, manakala sebahagian lagi hanya mempunyai satu sesi.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya bayaran kepada guru KAFA di bawah pentadbirannya ditukar daripada elaun kepada elaun tetap.
Fahmi berkata perubahan itu bertujuan memberi pengiktirafan terhadap bayaran yang diterima guru secara berterusan setiap bulan, selain berpotensi memudahkan urusan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
"Mudah-mudahan itu akan membantu kebajikan guru-guru, memudahkan mereka untuk mendapat pinjaman daripada bank dan pusat kewangan yang sah di Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, guru KAFA di bawah Kerajaan Negeri yang kini menggunakan istilah KAFA akan dijenamakan sebagai Guru Agama Fardu Ain (GAF) bagi membezakan kumpulan itu dengan guru KAFA di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"KAFA ada dua sebenarnya iaitu di bawah Kerajaan Negeri (JAIS) dan JAKIM. Jadi untuk mengelakkan kekeliruan tersebut maka di pihak pentadbiran, kita jenamakan guru KAFA yang di bawah JAIS sebagai guru GAF.
"Kelebihan yang tidak ada di bawah JAKIM akan dikekalkan dan yang akan diumum oleh Dato Menteri Besar adalah kenaikan gaji," katanya.
JAIS kini menguruskan 7,856 guru KAFA, dengan 4,856 daripadanya dilantik menggunakan peruntukan kuota Kerajaan Negeri dan ditempatkan di Sekolah Rendah Agama.
Manakala 3,000 lagi merupakan lantikan kuota JAKIM yang ditempatkan di 291 premis KAFAI.










