SHAH ALAM, 23 JUN: Pelbagai maklumat berkaitan hal ehwal Islam termasuk isu penceraian dan nafkah boleh diperoleh menerusi karnival agensi agama di Masjid Cahaya Iman, Rawang, Jumaat ini.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program itu bakal menjadi ruang bermanfaat untuk pelbagai agensi mendekati masyarakat bagi menerangkan usaha memartabatkan Islam.
Beliau memaklumkan agensi terlibat antaranya Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.
Agensi persekutuan pula seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan Institut Kefahaman Islam Malaysia bagi menyokong penganjuran karnival tiga hari sehingga Ahad.
“Dalam karnival ini, agensi terlibat juga akan adakan pameran contohnya, barangan dan artifak berkaitan ajaran sesat yang diperoleh pihak penguat kuasa untuk kesedaran awam.
“Ada juga gerai mempromosi produk tempatan dan halal. Ada juga jabatan negeri, jadi mana-mana ibu tunggal terkait isu nafkah, prosedur penceraian dan sebagainya berpeluang menyelesaikan kes mereka,” katanya dalam sidang media di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Mohamad Fahmi berkata karnival berkenaan turut melibatkan Jabatan Pendidikan Islam bagi membantu pendaftaran sekolah agama, selain orang ramai mengemukakan aduan berhubung masjid dan surau.
Beliau menambah karnival sama akan diteruskan ke Puncak Alam, Kuala Selangor dan Kanchong Darat, Kuala Langat selepas ini sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat mendapat manfaat.







