EXCO Selangor tekankan pengorbanan, kasih sayang sempena Aidiladha

27 Mei 2026, 7:00 AM
EXCO Selangor tekankan pengorbanan, kasih sayang sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 27 Mei: Barisan EXCO Kerajaan Negeri Selangor menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha 1447 Hijrah kepada seluruh umat Islam dengan menyeru rakyat terus menghayati nilai pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang dalam kehidupan seharian.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Fahmi Ngah berkata Aidiladha mengajar umat Islam mengenai erti ketaatan, kesabaran serta kepentingan untuk sentiasa berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan.

“Semoga semangat pengorbanan, keikhlasan dan kasih sayang yang dizahirkan pada hari mulia ini terus memperkukuhkan ukhuwah sesama kita.

“Aidiladha mengajar kita erti ketaatan, kesabaran serta kepentingan untuk sentiasa berkongsi rezeki dan membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam laman Facebook rasmi.

“Aidiladha mengajar umat Islam mengenai erti ketaatan, kesabaran serta kepentingan untuk sentiasa berkongsi rezeki dan membantu golongan memerlukan,”kata Dr Fahmi Ngah. Foto FACEBOOK Dr Fahmi Ngah

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, berkata Aidiladha mengingatkan masyarakat tentang kisah pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S. serta Nabi Ismail A.S. dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT.

Katanya, kisah berkenaan mengajar umat Islam mengenai nilai sabar, ikhlas dan keyakinan kepada hikmah Tuhan dalam setiap ketentuan.

“Hari ini, ramai juga sedang berkorban dalam cara yang berbeza. Ada yang bekerja keras demi keluarga, ada yang menjaga ibu bapa, ada juga yang terus kuat menghadapi cabaran hidup walaupun penat dan lelah.

“Pengorbanan seperti inilah yang sering tidak terlihat, tetapi besar nilainya,” katanya.

Dalam pada itu, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Aidiladha menjadi simbol kesatuan ummah dalam membantu golongan memerlukan serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam masyarakat.

“Hari Arafah mengajar kita tentang pengampunan, doa dan pengharapan, manakala Aidiladha pula menjadi simbol kesatuan ummah dalam membantu golongan yang memerlukan serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat mendoakan jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah di Tanah Suci agar dikurniakan haji mabrur serta dipermudahkan segala urusan.

Izham berkata Kerajaan Negeri Selangor menerusi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor tahun ini menyumbangkan 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing dengan nilai keseluruhan RM6 juta.

Katanya, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan semangat ibadah korban dapat dirasai lebih ramai rakyat khususnya golongan memerlukan.

“Semangat Aidiladha seharusnya menyedarkan kita untuk terus mempertahankan nilai kemanusiaan, memperbanyakkan bantuan kepada yang memerlukan serta memupuk rasa empati dan kasih sayang sesama insan tanpa mengira bangsa dan sempadan,” katanya.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata Aidiladha menjadi simbol kesatuan ummah dalam membantu golongan memerlukan. Foto FACEBOOK Dato’ Ir Izham Hashim

Sementara itu, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim berharap sambutan Aidiladha dapat membawa keberkatan, mengeratkan silaturahim serta memupuk nilai keikhlasan dan kasih sayang sesama masyarakat.

“Raikan hari yang mulia ini bersama keluarga dan insan tersayang dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan,” katanya.

Pada masa sama, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata semangat pengorbanan, keikhlasan dan keteguhan iman yang dizahirkan melalui Aidiladha wajar terus menyemarakkan jiwa rakyat untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Marilah kita hayati makna sebenar pengorbanan dan saling memperkukuh ukhwah dalam meraikan hari yang penuh keberkatan ini,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.