SHAH ALAM, 2 FEB: Semua pihak diminta bertenang dan tidak mengambil tindakan merobohkan kuil di Petaling Jaya secara sendiri, sekali gus menimbulkan ketegangan antara masyarakat berbilang agama.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menegaskan langkah tersebut tidak sah dan bercanggah dengan prinsip Islam yang menekankan akhlak mulia serta pendekatan harmoni.
“Pendekatan Islam bukan berbentuk perbalahan. Dakwah Nabi kebanyakannya terhasil daripada akhlak dan amalan baik. Orang tidak memeluk Islam kerana peperangan. Tidak, mereka menerima Islam kerana sifat baiknya,” katanya dalam wawancara bersama media terpilih, lapor Free Malaysia Today.
Beliau menambah, tindakan secara perbalahan hanya mengundang perpecahan dan tidak mampu menyelesaikan masalah.
“Pendekatan lebih harmoni dan sederhana lebih baik supaya kita dapat hidup bersama secara aman dalam negara berbilang agama. Jika umat Islam merasakan kita adalah agama yang benar, tetapi gagal menunjukkan sifat baik dan akhlak mulia, bagaimana kita boleh mengharapkan kebenaran ini tersebar lebih jauh?
“Saya rasa tiba masanya kita menunjukkan wajah Islam yang mesra dan mudah didekati, sedia berinteraksi dengan penganut agama lain,” katanya.
Minggu lalu, Mohammad Fahmi menegaskan Kerajaan Negeri tidak menyediakan tapak ganti berhubung pencerobohan tiga rumah ibadat bukan Islam di tanah perkuburan Islam PJS 4, Petaling Jaya.
Beliau menjelaskan tapak yang dirujuk dalam kenyataan seorang pengguna Facebook, Tamim Dahri pada 23 Januari lalu, sebenarnya telah lama dizonkan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan tidak pernah dicadangkan sebagai tapak surau.
Menurutnya Kerajaan Negeri mempunyai perancangan, tindakan serta garis masa bagi merobohkan binaan tidak sah tersebut, sekali gus membolehkan kerja-kerja tapak kubur dirancang oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang sekian lama tertangguh, dijangka dilaksanakan seawal Jun 2026.


