SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menanggalkan palang automatik di Jalan BK3/3A dan Jalan BK3/3B, Bandar Kinrara selepas Persatuan Penduduk BK3 gagal mematuhi arahan membuka akses kepada penduduk, semalam.
MBSJ berkata tindakan itu membabitkan palang Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) dan Pengecaman Plat Nombor Automatik (ANPR), manakala sebahagian struktur palang masih dikekalkan.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas persatuan penduduk berkenaan didapati tidak mematuhi garis panduan komuniti berpagar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa serta menghalang akses di jalan awam.
Ahli Majlis MBSJ Zon 18, Mehanatan Embamurthi berkata bekalan elektrik kepada sistem RFID dan ANPR turut diputuskan.
"Walaupun sistem keselamatan penting bagi memastikan keselamatan penduduk, ia perlu mematuhi peraturan sedia ada yang ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya seperti dilaporkan The Star.
Beliau menggesa persatuan penduduk berkenaan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perancangan Bandar MBSJ bagi mengenal pasti tindakan yang selaras dengan garis panduan ditetapkan.
Penduduk Jalan BK3/6, Saravanan Karuppan, 51, menyifatkan tindakan MBSJ itu sebagai langkah pertama menyelesaikan isu yang mengganggu sebahagian penduduk di kawasan berkenaan sejak tahun lalu.
"Sistem RFID di Jalan BK3/3B dikhaskan untuk ahli persatuan, manakala penduduk bukan ahli seperti saya terpaksa menggunakan palang ANPR di Jalan BK3/3A yang memerlukan laluan lebih jauh untuk ke rumah saya di Jalan BK3/6," katanya.
Seorang lagi penduduk Jalan BK3/6, Prabakaran Balakrishnan, 59, berkata penduduk bukan ahli turut perlu mendaftarkan kad pengenalan atau lesen memandu ketika melalui palang ANPR di Jalan BK3/3A.
"Jika pengawal keselamatan mengenali kami, dia akan membenarkan kami masuk, tetapi jika tidak, kami perlu melalui proses itu setiap kali mahu pulang ke rumah," katanya.
MBSJ sebelum ini memberi tempoh tujuh hari bermula 27 Ogos kepada persatuan berkenaan untuk menanggalkan palang automatik itu selepas mendapati sistem berkenaan tidak mematuhi garis panduan PLANMalaysia serta menghalang akses di jalan awam.







