Oleh Lokman Hakim
Ilustrasi Muizzah
Ronald tidak tahu penyiasatan kali ini betul-betul menduga akal dan kewarasan. Pada hematnya, Dr. Indragildi adalah seorang pemimpin ajaran sesat. Nama Islamnya, Iradan Indragildi bin Abdullah. Memeluk agama Islam setelah didatangi mimpi dia membelah dada anak saudaranya, seorang pencandu dadah yang tiada ubatnya. Dan apabila dia terjaga daripada mimpi, anak saudaranya itu terus sembuh daripada ketagihan dan tiada langsung sama sekali memiliki sifat buruk. Dr. Indragildi, percaya dia diberi kebolehan ‘Tangan Jibrail’. Kebolehan itu mirip malaikat Jibrail yang membelah dada Nabi Muhammad SAW ketika usia baginda begitu kecil lalu mengeluarkan segumpal daging hitam. Sesudah itu, menurut Dr. Indragildi, Nabi Muhammad SAW menjadi maksum. Dr. Indragildi, yang hanya tahu permukaan kisah Nabi Muhammad SAW itu, mengguna pakai naratif tersebut untuk memberi nama kepada kebolehan baharunya itu sebagai ‘Tangan Jibrail’.
Namun, tidak dinafikan sama sekali kebolehan itu telah memulihkan sekian ramai manusia. Ahli-ahli politik yang mendatanginya tidak lagi digeluti keinginan merebut kuasa. Bahkan ramai yang sudi menggadaikan harta mereka demi memastikan kebajikan rakyat terjaga. Ia berita yang terlalu baik untuk dipercayai kesahihannya. Terlalu molek untuk ditanggapi selaku kebenaran. Maka, Ronald, seorang penyiasat yang punya skeptisme tentang agama, telah mentakrifkan Dr. Indragildi sebagai penipu. Jatuh hukum sebelum terbukti.
“Kamu boleh saja datang ke mari dan tanya saya elok-elok. Minta apa saja yang kamu nak tahu tentang saya dan saya telus. Tapi kamu pilih untuk masuk macam tikus, pecahkan harta benda saya dan... mungkin kamu patut dapat rawatan.”
Dr. Indragildi mengangkat tangan kanannya, menggayakan seperti sedang mengutip sesuatu dari udara lalu menggenggam kuat. Wajahnya serius, tidak kelihatan bergurau. Tidak juga kelihatan seperti menyindir atau mengugut. Ada sesuatu pada renung Dr. Indragildi – kegilaan.
Ronald kini diikat kemas pada sebuah kerusi. Di atasnya, cahaya berpusar kesan daripada lampu kalimantang yang dipasang aneh. Situasi itu membuatkan Ronald berasa seolah-olah berada dalam mimpi. Seingatnya, dia mencerobohi rumah itu senyap-senyap. Meneliti dokumen di atas meja dan di dalam laci dengan tekun sebelum hilang kesedaran.
Tetaplah Ronald menampakkan wajah bersahaja. Peluh merecik membasahi dahi dan pipi. Wajahnya sedikit pucat. Tetapi Ronald bukanlah mudah untuk diprovokasi. Dia sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan. Serangan hendap ke atasnya sudah cukup membuktikan satu perkara – Dr. Indragildi bukanlah seorang maksum. Bukan juga seorang pencinta keamanan. Kekerasan yang dilalui Ronald mengukuhkan pendapatnya itu.
“Kau hendak gunakan Tangan Jibrail? Jangan harap aku akan berubah!”
“Tangan Jibrail? Gelaran itu menjengkelkan. Apa yang saya lakukan hanya memberi rawatan psikologi – meminta pesakit membulatkan segala sifat mazmumah dalam diri dalam bentuk gumpalan daging hitam dan saya buatkan mereka percaya saya menariknya keluar dari dada mereka. Saya bukan malaikat, Ronald. Dan para pesakit saya bukannya nabi. Kamu sudah tertipu dengan media lalu datang ke mari.”
Dr. Indragildi merapati Ronald lalu mengeluarkan sebilah pisau. Setiap tali-temali yang melilit dikerat. Ronald segera bingkas. Dr. Indragildi lekas-lekas menjarakkan diri. Geraknya seperti kapas ditiup angin. Untuk seketika, Ronald mempercayai Dr. Indragildi itu persis malaikat – lalu lekas-lekas Ronald menggeleng. Dia goyah. Dia tidak mengerti bagaimana tanggapan sebegitu boleh muncul dan menguasai diri.
Sementara itu, Dr. Indragildi sudah duduk di kerusi kayu antiknya sambil menghirup teh beraroma kamomil. Di hadapannya, teko dan cangkir kosong tersedia.
“Saya mohon maaf. Pengawal peribadi saya mungkin terlalu kasar. Tetapi, populariti mendesak saya mengambil langkah berjaga-jaga. Kamu boleh pilih untuk duduk di sini, bertanyakan soalan sambil minum teh atau balik. Saya tidak paksa kamu untuk jalani rawatan ‘Tangan Jibrail’ itu.”
“Aku boleh balik?” Ronald terpinga-pinga.
“Ya.”
Pintu automatik terbuka. Lampu di setiap koridor terang-benderang. Bahkan ada pengawal pengiring yang menunjukkan jalan keluar. Ronald masih tercengang. Memikir muslihat apa yang tersemat dalam permainan Dr. Indragildi. Diperhati sekitar rumah yang dicerobohi. Memang indah. Perabotnya minimalis. Dan kerana itulah, tiada kelihatan mana-mana ruang tersorok.
Tika Ronald melangkah keluar dan tiba di kereta yang diparkir, dia berpaling sejenak dan memerhati rumah agam milik Dr. Indragildi merangkap pusat rawatan ‘Tangan Jibrail’ itu. Dia mendapati kata-kata Dr. Indragildi itu benar kerana apa yang tertera pada papan tanda utama rumah agam itu adalah: Dr Integriti.
2.
Dengan mengetepikan desas-desus dan wacana yang langsung tidak bersandarkan fakta, Ronald menyedari perkhidmatan yang ditawarkan Dr. Integriti itu langsung tiada niat sama sekali untuk menyalahgunakan agama. Julukan ‘Tangan Jibrail’ yang diberikan kepada Dr. Indragildi itu bukanlah atas kehendak sendiri, tetapi daripada para pesakitnya yang beragama Islam. Mereka menyamakan rawatan yang diberikan itu seperti kisah malaikat Jibrail mendatangi Nabi Muhammad S.A.W ketika berusia 4 hingga 5 tahun lalu membelah dada baginda lantas mengeluarkan gumpalan kekotoran hitam yang juga dikatakan bahagian syaitan.
Dr. Indragildi sudah tidak berdaya menongkah dakwaan dan tokok tambah di media sosial. Dia tidak melantik penasihat media dan tidak melihat terdapatnya keperluan itu. Bahkan dia tidak peduli langsung dengan julukan ‘Tangan Jibrail’ itu. Dia tersenyum setiap kali pesakit merayu “Bantulah saya, ‘Tangan Jibrail’! Saya berdosa dengan keluarga saya.” Tiada langsung usaha hendak memperbetulkan dakwaan ataupun tanggap yang silap. Diiyakan sahaja.
“Saya ada kebolehan itu dan saya nak bantu orang ramai. Jika mereka menyamakan saya dengan Jibrail, biarlah! Asalkan mereka sudi bersemuka dan meminta bantuan saya menyucikan hati mereka, sudahlah. Masyarakat kita ini, sakit. Membersihkan mereka daripada kesakitan itu, bukan tugas mudah.”
Ronald merekodkan kata-kata Dr. Indragildi dengan tekun. Sejak peristiwa pencerobohan tempoh hari, Ronald kini kerap bertandang ke rumah agam Dr. Integriti demi mendapatkan naratif setepatnya. Paling mengejutkan, Dr. Indragildi tidak pernah masuk Islam. Nama Islamnya, Iradan, adalah ciptaan para pesakitnya lalu ditularkan di media sosial. Fikir Ronald, jika perawat mereka menggunakan kaedah seperti malaikat Jibrail, mana mungkin dia bukan Muslim? Benarlah kata-kata Dr. Indragildi, masyarakat memang sudah sakit.
Semakin lama, semakin Ronald mengagumi Dr. Indragildi yang langsung tidak tunduk kepada dakwaan-dakwaan liar di media sosial. Dia tetap melayan pesakit yang datang berduyun-duyun minta dirawat dengan rawatan ‘Tangan Jibrail’.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap anugerah, ada tujuannya. Saya mahu memberi manfaat selagi mampu.”
Sehinggalah suatu hari, Ronald memutuskan untuk mencuba sendiri rawatan memperbaiki integriti itu. Dia tidak menamakan rawatan itu ‘Tangan Jibrail’ seiring dengan perspektif Dr. Indragildi sendiri.
“Pejamkan mata dan bayangkan kamu berada di sebuah padang rumput yang paling damai.”
Sebaik sahaja Ronald memejamkan mata, dia mendapati dirinya berada di padang rumput yang begitu hijau rumputnya, pendek-pendek tumbuhnya. Matahari bersinar sedang-sedang hangatnya, tidak terlalu panas dan cuaca juga tidak mendung. Dia berbaring dek terdorong hamparan rumput yang begitu selesa. Sekonyong-konyong dia mendapati ada susuk merapati.
Dr. Indragildi. Namun, pembawaannya di dunia ciptaan ini langsung tidak manusiawi. Tubuhnya adalah puluhan mata ditumbuhi sayap-sayap yang tidak terhitung jumlahnya bak tumbuhnya rambut. Jika tidak kerana suara yang terbit dari susuk itu, pastilah Ronald tidak mengecamnya.
Tangan tiba-tiba menjulur keluar dari bebola mata terbesar di tengah-tengah jasad aneh itu lalu menuju tepat ke arah dada Ronald. Ronald tidak menanti begitu sahaja. Dicengkamnya pergelangan tangan itu.
“Kau memang penipu.”
Serentak itulah Ronald terjaga daripada hipnosis. Di hadapannya, Dr. Indragildi terkulai dengan mulut berbuih. Para pekerja di rumah agam itu bergegas mendapatkan lelaki tersebut lalu dibawa keluar dari bilik rawatan memperbaiki integriti itu. Sebaik sahaja kelibat Dr. Indragildi dan para pekerjanya hilang dari muka pintu, Ronald menggumam sendiri.
“Hilang sudah integritinya.”
3.
Peristiwa itu membuatkan Ronald mengelak daripada berjumpa Dr. Indragildi. Penyiasatan dilanjutkan dengan menemu bual pesakit-pesakit secara rawak. Sengaja disiasat senarai pesakit-pesakit lalu diaturkan pertemuan yang berbeza lokasi dan waktu. Pendekatan ke atas setiap pesakit juga berbeza-beza agar tidak terlihat usahanya untuk menyiasat lebih lanjut.
Dia menemui seorang lelaki yang mendakwa dirinya kembar Dr. Indragildi. Namanya Iradan. Ya, dia memang bernama Iradan dan beragama Islam. Katanya, mereka berpisah ketika kecil apabila Iradan diserahkan kepada keluarga Muslim lalu Islamlah agama yang dianutinya.
“Jadi kamu juga punya kebolehan seperti Dr. Indragildi?” tanya Ronald sambil tangannya sibuk menulis sesuatu di atas buku nota.
“Kami punya kebolehan memimpikan apa yang kami mahu. Hanya perlu bayangkan beberapa perkara dan hubung kaitnya sebelum tidur, maka kami akan memimpikannya seperti yang diharapkan.”
“Sebentar, bukankah kamu kata yang kamu berdua duduk berasingan akibat berpisah keluarga?”
“Benar, secara fizikal, ya. Tapi secara telepati, kami masih berhubung. Dan saya percaya, Dr. Indragildi sedang mendengar dan melihat perbualan kita ini.”
Ronald kurang menyenangi kata-kata Iradan itu. Diperhati sepasang mata lelaki itu, cuba menelusuri isi hatinya dengan renungan tajam. Dan tiba-tiba di dalam kepala Ronald sendiri, terpacul imej makhluk yang terdiri daripada puluhan mata bersayap segenap penjuru dan tidak sekata bentuknya. Sebuah mulut muncul dari bahagian tengah makhluk itu lalu berkata “Berhenti!”
Iradan segera menggenggam tangan Ronald. Dingin. Ronald menggeletar. Diperhatinya sekitar dan pengunjung-pengunjung kafe yang mereka datangi itu langsung tidak mengendahkan mereka. Kejadian yang berlaku itu tampaknya hanya dilalui mereka berdua.
“Mahu secawan lagi latte?” Iradan mempelawa.
Ronald mengangguk. Gugup. Genggam Iradan pada tangannya dilucut perlahan. Lalu Iradan ke kaunter memesan latte. Buku nota di hadapan terselak, ya, Ronald teringat dia sedang menuliskan sesuatu perihal Dr. Indragildi. Sesuatu yang berkait rapat dengan esensi malaikat. Kepatuhan malaikat kepada Tuhan.
Sebaik sahaja Iradan tiba di meja mereka, Ronald tidak membuang masa.
“Adakah kamu adik-beradik ini… sebenarnya, malaikat?”
Iradan tertawa kecil dengan pertanyaan berbaur polos itu. Diperhatikan jam di pergelangan tangan kanan lalu Iradan menampakkan ketergesaan.
“Anggaplah kami ujian daripada-Nya kepada umat manusia.”
Tanpa berlengah, Iradan segera berlalu pergi membelah malam yang kian pekat. Ronald pula tidak bergegas mengejar. Diteguknya latte yang dibawakan kepadanya dan dia menyedari, itu latte paling enak pernah diteguk setakat ini.
“Ujian, ya?” gumamnya sendiri.
4.
Semakin hari, Ronald merasakan dunia sedang berkerudung hitam lalu memunculkan diri selaku susuk mengerikan di setiap penjuru yang dilintasinya. Setiap kali dia menatal telefon bimbit, berita-berita mengenai Dr. Indragildi beredaran dan membentuk imej seorang nabi yang pada hemat Ronald, palsu semata-mata.
Ya, Dr. Indragildi tidak mencuba sama sekali membetulkan persepsi-persepsi liar ke atas dirinya. Dan itulah mudarat terbesar. Fikir Ronald, dia cuma ada satu pilihan. Satu-satunya orang yang boleh mengubah petaka yang dibawakan Dr. Indragildi itu hanyalah dirinya sendiri.
Dicapai pisau yang sudah diasah tajam lalu disarungkan. Disisip di dalam kocek seluar kemas-kemas. Perundingan tidak berhasil kerana Dr. Indragildi berpendapat, mengubah khabar angin itu bukanlah tanggungjawabnya. Ronald bergegas ke rumah agam Dr. Indragildi. Perkataan ‘Integriti’ yang tertera jelas pada papan tanda yang terpacak di atas rumah agam itu cukup menjengkelkan.
Orang begitu ramai. Tetapi tiada pengawal sama sekali. Dr. Indragildi terlihat jelas di atas pentas di ruang tengah rumah agam, dikelilingi ratusan manusia. Mereka mahukan rawatan segera. Mereka mahu menyaksikan keajaiban. Mereka inginkan pembuktian ke atas setiap cerita yang berlegar di media sosial. Dan setiap kali Dr. Indragildi menyudahkan rawatan jiwanya itu, setiap kali itu juga gerombolan hadirin bersorak dan bertepuk tangan.
Hal itu membuat Ronald berang. Dia harus pantas. Dirempuh orang ramai yang beratur lalu ditolak seorang demi seorang yang dia kira menghalang laluannya. Dalam beberapa ketika, Dr. Indragildi kini berada di depannya.
Tanpa berlengah, pisau dikeluarkan dari kocek lalu dilucutkan sarungnya. Dengan sepenuh hati, Ronald menusukkan mata pisau itu tepat ke jantung Dr. Indragildi. Darah memercik panas. Itu berlaku sepintas waktu.
Pentas lengang. Rumah agam yang riuh, sunyi semerta. Debu dan bunyi gema dihasilkan angin, sekata memberitahu bahawa rumah agam itu tidak pernah didiami sama sekali.
Ronald tercengang. Pisau terhunus di tangan, bersih tanpa darah. Tanpa susuk manusia yang ditikam. Ronald berpaling dan dia melihat Iradan, berdiri di muka pintu sambil bersandar pada bingkainya.
“Baliklah, pemimpi,” ujar Iradan lalu berpaling.
Kali ini Ronald berlari mendapatkan Iradan, enggan melepaskan begitu sahaja. Bahu lelaki itu dicengkam kemas, menghentikan geraknya.
“Apa yang terjadi?”
“Sudah aku katakan sebelum ini, bukan?”
“Ya, aku tahu. Kamu berdua adalah ujian daripada-Nya untuk manusia. Tapi itu tidak bermakna apa-apa!”
Cengkaman Ronald pada bahu Iradan terlucut seolah-olah tangannya berpaut pada angin, tanpa susuk yang nyata. Iradan tetap di depan mata, tidak berganjak. Matanya bercahaya.
“Mampukah manusia menemukan kebenaran, saudara? Tidak lagi. Tidak sekali-kali.”
Dan Iradan lenyap ditiup angin. Hilang dalam kabus yang memenuhi rumah agam itu.
Ronald bertempik.







