Mengutip Kesedihan

8 Feb 2026, 8:23 AM
Mengutip Kesedihan

Oleh Lokman Hakim

Idris diminta untuk melakukan demonstrasi mesin “Mengutip Kesedihan” yang diciptanya ketika pendakwaan. Idris angguk tanpa sepatah kata. Dia dibawa pegawai iringan dari kandang pesalah lalu didudukkan di sebuah kerusi yang lengkap diletakkan topi keledar khas dan juga sekeping skrin mirip televisyen. Sebaik sahaja dia duduk di kerusi itu, topi keledar disarung. Ekspresi wajah Idris kaku tanpa emosi.

Kesalahan yang dilontar padanya itu berat: Penipuan dan rasuah. Penipuan dalam menyediakan khidmat melenyapkan kesedihan rakyat jelata dengan mesin “Mengutip Kesedihan”. Rasuah terhadap pegawai Majlis Bandaran Kota Bahagia agar perolehan projek khidmat melenyapkan kesedihan itu dapat dilaksanakan.

Tanpa sepatah kata, Idris segera mengaktifkan mesin tersebut. Dalam sekelip mata, tubuhnya berkecai menjadi debu. Topi keledar bergolekan. Tiada siapa tahu sebabnya. Ia misteri yang kekal dispekulasi.

2.

“Puan, saya dianiaya! Saya cuma seorang saintis, mencipta mesin yang akan menggembirakan manusia. Sehinggalah saya bertemu Dato Harun. Dia pandai berniaga. Punya kenalan kerabat diraja. Punya kenalan dalam pegawai-pegawai tertinggi kerajaan. Dia juga ahli parti politik yang menerajui pimpinan negara sekarang.”

Nama Dato Harun itu cukup Puan Akma ketahui. Seorang penyangak yang berlindung di sebalik ambiguiti undang-undang. Seorang yang pintar memanipulasi individu-individu berkuasa. Tiadalah seorang pun yang berada di dalam tampuk kekuasaan yang terlepas daripada genggamannya. Makanya, hadirnya Idris ke mari, melantik Puan Akma selaku peguam adalah suatu kesia-siaan. Namun, bagaimana harus Puan Akma menerangkan kepada Idris? Benarkah Idris senaif itu?

“Ya, saya kenal Dato Harun. Siapa yang tidak kenal Dato Harun di sini, bukan? Dia yang banyak melabur dalam pembinaan bangunan di sini. Termasuklah ofis yang kami duduk ini. Kamu tahu, siapa yang kamu lawan, Encik Idris?”

Idris menangis teresak-esak. Dia tampak buntu benar. Tiada tempat pergantungan. Tiada tempat mengadu. Itulah yang Puan Akma dapat baca melalui pelakuan dan bahasa tubuh yang ditunjukkan. Jatuh rasa simpati. Tapi keberadaan Idris di sini dan pelantikan Puan Akma selaku peguam bela hanya sekadar memenuhi syarat. Idris sudah termaktub kesalahannya. Sudah ditentukan hukumannya.

Jauh di lubuk hati, Puan Akma mahu menghantar Idris ke luar negara, menyorokkannya sehabis mungkin tetapi apakan daya, perbuatan seumpama itu akan membawa padah. Dato Harun akan mengancam hidupnya dengan pelbagai tipu muslihat. Puan Akma tahu ada perlawanan yang tidak boleh dimenangi dan harus dijauhi. Lalu bagaimana dengan nasib Idris ini?

“Saya tak boleh menang kes ini, bukan?” Idris tidak senaif yang disangka. Puan Akma mengeluh berat mendengar pertanyaan itu.

“Saya akan usahakan agar hukuman awak diringankan,” Puan Akma enggan berjanji bulan dan bintang, hanya sesuatu yang realistik.

Idris tersenyum kelat lalu meminta diri. Dan itulah kali terakhir Puan Akma mendengar suara Idris.

3.

Sebaik sahaja diikat jamin keluarganya daripada tahanan Badan Pencegah Rasuah, Idris balik ke rumah sendiri lalu berkurung. Dia menyarungkan topi keledar “Mengutip Kesedihan” lalu mengaktifkan alat itu.

Perlahan-lahan sugulnya hilang. Kerut di muka, depresi yang menular dan juga kegalauan jiwa terubat. Meski hatinya tenang dan mula reda menerima takdirnya itu, Idris mendapati dirinya tidak lagi mampu bersuara.

Segalanya bermula apabila Dato Harun memintanya mengendalikan khidmat melenyapkan kesedihan penduduk Kota Bahagia. Setelah membuat kira-kira, Idris memerlukan sejumlah wang yang besar setiap bulan untuk pembaharuan barang ganti. Kontrak dengan Majlis Bandaran Kota Bahagia sudah dimateri. Demi kebahagiaan warga Kota Bahagia yang tidak berapa bahagia, semestinya.

“Aku nak 30 peratus, Idris. Kau kena keluarkan sebut harga baharu.”

“Kalau 10 peratus, tak boleh ke Dato? Saya dah sain kontrak dengan Majlis. Mereka akan sedar kalau saya guna barang tak sama dalam kontrak.”

Dato Harun meneliti sebut harga yang diajukan. Lalu dimuat naik ke dalam perisian kepintaran artifisial. Optimumkan harga. Keuntungan yang digazetkan hampir 50 peratus! Dato Harun tersengih.

“30 peratus. Muktamad. Ikut saja saranan ini, kau akan selamat. Tahulah aku nak settle orang Majlis nanti.”

Idris tahu, masa depannya sudah punah sebermula daripada permintaan Dato Harun itu. Firasatnya juga tajam. Namun apalah upayanya menolak, bukan?

4.

Amaran: Mesin “Mengutip Kesedihan” tidak wajar digunakan oleh individu yang dibungkam kesedihan melampau. Menggunakan mesin itu ketika setiap inci pemikiran dan hati diselubungi kesedihan akan menjurus kepada penghapusan tuntas. Penggunanya akan direntung menjadi abu.

Idris tahu hal itu. Tapi kini, hanya dirinya yang menggunakan mesin tulen. Mesin yang digunapakai masyarakat tidak punya risiko itu. Sedang-sedang kualitinya. Adakala rosak, adakala elok. Ikut nasib.

Disarungkan topi keledar setiap kali aduan orang ramai tular. Kecaman diterima, disusuli surat saman tidak dijawab. Pihak Majlis mendenda Idris dengan memotong bayaran di atas khidmat yang teruk.

Kesedihannya tidak pernah surut. Berganda saban hari. Sehinggalah Dato Harun melaporkan perihal penyelewengan dalam perolehan bahan-bahan ganti yang digunakan Idris. Dan segala-galanya runtuh.

Topi keledar disarung setiap malam. Selang dua jam. Idris tiada jalan keluar. Hanya melenyapkan kesedihan agar fikirannya rasional.

Suatu pagi, serbuan dibuat. Idris disoal siasat berhari-hari. Idris akur. Nama Dato Harun tidak disebut. Naratif dibacakan kepadanya lalu dia angguk. Tiada bantahan. Dia sudah penat. Dia sudah tahu dirinya dikambinghitamkan.

Mesin “Mengutip Kesedihan” tidak lagi mampu melenyapkan kesedihannya.