Oleh Lokman Hakim
Bapa, jarang-jarang ada, kata Mama. Tapi saya meraguinya. Ketika kecil, tidak pernah saya menyeru Bapa tanpa sahutannya. Bapa akan datang, mendukung saya ketika masih kecil. Pantang saja mendengar saya menangis, Bapa akan muncul. Bagaimana Mama boleh kata Bapa jarang-jarang ada? Begitulah saya akan ceritakan magis di sebalik keberadaan Bapa yang tidak pernah hilang itu.
Kata Mama, waktu saya masih dalam rahimnya lagi, Bapa diwajibkan menjalani latihan keibubapaan mithali. Waktu itu, sepatutnya Mama turut sertai, tetapi selaku keluarga yang kurang berada, Bapa hanya berkemampuan membayar yuran latihan untuk dirinya seorang sahaja. Dan latihan itu sangat-sangat luar biasa dan tidak masuk akal. Mama mengujar itu adalah latihan untuk menjadi Tuhan. Mana tidaknya, mereka yang menyertainya akan diadili jutaan warga media sosial yang mempersoal setiap tindakan yang mereka ambil. Harus sentiasa berbuat dua perkara berlawanan pada waktu yang sama. Sebagai contoh, latihan ambil anak di sekolah tanpa meninggalkan tempat kerja walau sedetik. Latihan menjana pendapatan pasif pada sebelah malam dan bekerja waktu normal pada sebelah pagi tanpa meninggalkan rumah. Ada juga latihan menjadi penjaga anak sepenuh masa tanpa masalah kewangan dibenarkan.
Saya ketawa dengar cerita Mama yang tidak masuk akal itu. Tapi Mama dengan serius, sambil kunyah kuaci, menyambung ceritanya. Papa tahu semua itu tidak masuk akal. Mereka juga sudah berbincang mengenainya lama sudah. Sewaktu zaman saya masih kecil itu, media sosial dipenuhi masyarakat gila mengadili walau masing-masing tidak faham maksud adil. Perlahan-lahan masyarakat segila itu mengenderai kerajaan. Menteri harus berbuat perkara popular meski kesan jangka panjangnya itu, buruk. Tidak diturut, lekas ditunduk, disuruh letak jawatan.
Seburuk nasib saya ke, Mama? Saya tanya. Tidaklah, lihatlah sekarang di mana Bapa kamu berada. Mama saya tuding ke dinding kosong. Tuding ke siling. Tuding ke luar tingkap. Tuding ke setiap objek dalam rumah dan akhirnya dia tuding ke arah saya. Lihat, lihat, Bapa kamu ada di mana-mana. Dalam doa. Dalam diri kamu. Dalam setiap benda bernyawa, berjela Mama bercerita. Saya memintas, itulah yang saya maksudkan dengan nasib buruk, Mama.
Mama tidak faham, tetapi mungkin buat-buat tidak faham. Saya tahu di mana Bapa, saya mengujar. Lekas-lekas Mama memintas: Dia kini seorang pelarian yang meninggalkan peranannya selaku seorang Bapa, kerana selaku seorang yang omnipresen, dia harus ada di mana-mana, kecuali di rumah ini. Mama minta saya keluarkan telefon bimbit. Hantar teks kepada Bapa agar pulang. Agar tidak sekadar meninggalkan bayang-bayangnya di rumah ini. Agar dia memunculkan dirinya meskipun ia suatu siri pembohongan.
Saya keluarkan telefon bimbit dan pura-pura menghantar teks kepada Bapa. Mama nampak tenang apabila saya berbuat demikian. Dalam kilas renung Mama, tersemat amarah. Tetaplah Mama mengunyah sesuatu, kali ini pisang goreng yang Alida belikan petang tadinya. Alida yang baru saja berbadan dua, mengandungkan cucu sulung Mama, sudah beransur ke bilik, berehat. Saya ke tingkap melontar renung ke arah deretan bangunan apartmen yang begitu rapat tingkapnya dengan beranda kami. Ujar Mama, mujur kamu tidak lahir pada zaman media sosial dikerumuni manusia gila. Untuk tidak memiliki akaun media sosial, dianggap petaka kerana setiap urusan kehidupan harus berinteraksi melaluinya. Dan Bapa, sesudah kamu lahir, masih terikat dengan rutin latihan keras keibubapaan mithali, cuba memenuhi ketidakmustahilan.
Demi memastikan keberadaannya sentiasa di rumah bersama kamu sehingga kamu petah berkata-kata, Bapa berhenti kerja. Dia guna duit datuk kamu, pinjam duit daripada saudara mara, tebalkan muka sambil menyakinkan mereka, anaknya itu tanggungjawab bersama keluarga. Mama kata ia memalukan, kerana dengan hidup atas belas ihsan saudara mara, maruah rasa dipijak-pijak. Namun tidak pada Bapa, dia harus kekal omnipresen di mata kamu. Dia enggan tunduk pada cuti paterniti tujuh hari dan mahu cuti sebegitu dianjak ke lima tahun. Dia mula mencari kerja dalam talian agar kamu sentiasa ada di depan mata. Ketika itu, Bapa melawan arus normal masyarakat. Ketika ramai berbuat dua hingga tiga kerja demi menafkahi keluarga, Bapa kamu enggan berbuat mana-mana kerja yang rigid waktunya. Ekonomi merudum, para majikan kian menindas pekerja dengan waktu kerja berjela panjang. Dan Bapa kamu melawan semua itu. Demi apa? Demi kekal menjadi Bapa omnipresen.
Di mata masyarakat, Bapa kamu itu bapa mithali. Sentiasa ada untuk anak. Sentiasa bawa anak berjalan-jalan ke pantai dan ke tempat peranginan. Harganya, lihatlah sendiri, ujar Mama sambil menyudahkan cangkir teh yang berbaki separuh dengan sekali teguk. Sudahkah kamu teks Bapa kamu agar balik? Saya angguk. Mama nampak penat setelah bercerita lalu terlelap di kerusi sandar yang saya belikan tahun lalu.
Bagaimana Mama? Tanya Alida yang baru terjaga. Begitulah, masih tak boleh terima hakikat yang Bapa sentiasa ada di sini. Terlantar di katil hujung rumah. Tidak berdaya apa-apa, tetapi sentiasa ada depan mata, ujar saya.
Alida mengeluh berat, lalu duduk di sisi saya, mengenggam tangan saya. Saya kucup dahinya dan berharap anak kami yang bakal lahir nanti tidak menuntut saya untuk jadi omnipresen. Mujur sahaja Bapa sudah melatih agar saya tidak bergantung pada pandangan masyarakat untuk kekal tampak sempurna. Mujur sahaja Bapa mengajar saya makna untuk menjadi seorang bapa - pengorbanan tanpa syarat. Mujurlah.


