PANDAMARAN, 3 OKT: Selepas lebih tiga dekad mengusahakan kedai gunting rambut, P. Pathmavathi kini mampu memberikan keselesaan lebih baik kepada pelanggan selepas menerima dua kerusi gunting rambut menerusi Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED).
Pathmavathi yang telah menjalankan perniagaan itu selama 36 tahun menerima peralatan berkenaan dalam majlis penyerahan bantuan yang disempurnakan EXCO Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu di Pandamaran, semalam.
Menurutnya, kerusi yang digunakan sebelum ini sudah lama dan kurang selesa, manakala pertambahan pelanggan mendorong beliau memohon bantuan baharu.
Beliau berkata kemudahan itu bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan pelanggan, malah membantu beliau menguruskan perniagaan dengan lebih baik.

“Saya mempunyai lebih ramai pelanggan dan kerusi yang digunakan sebelum ini sudah lama. Jadi, saya memohon bantuan ini untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.
“Saya berharap peralatan baharu ini dapat membantu saya menjalankan perniagaan dengan lebih baik dan terus berkembang,” katanya.
Pathmavathi turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana meluluskan permohonannya dan menyediakan peralatan yang diperlukan bagi membantu kelangsungan perniagaan.
Sementara itu, Papparaidu berkata bantuan menerusi i-SEED diharap dapat membantu Pathmavathi mengembangkan perniagaan, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.
Menurutnya, pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan masyarakat India, khususnya mereka yang memerlukan sokongan untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan.
“Bantuan ini diharapkan dapat membantu penerima mengembangkan perniagaan mereka. Program i-SEED yang dilaksanakan di Selangor banyak membantu usahawan daripada masyarakat India.
“Tiada sesiapa yang tercicir dalam usaha Kerajaan Negeri Selangor membantu rakyat. Penyerahan bantuan ini menjadi antara buktinya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan program berkenaan.
i-SEED perkasa usahawan masyarakat India
Ketua Penyelaras Program i-SEED, M. Mathavan berkata program itu diperkenalkan sejak 2021 bagi memperkasa usahawan masyarakat India, khususnya golongan berpendapatan rendah dan B40.
Menurutnya, i-SEED diwujudkan bagi memberi peluang kepada individu yang mahu memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil menerusi bantuan peralatan yang bersesuaian dengan bidang masing-masing.
“Melalui bantuan ini, usahawan dapat meningkatkan sumber pendapatan dan pada masa sama membina kehidupan ekonomi yang lebih stabil.
“Saya sangat gembira kerana Kerajaan Negeri Selangor terus menyediakan peruntukan setiap tahun bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India,” katanya.
Mathavan turut menyeru penerima supaya menggunakan peralatan yang disediakan dengan sebaiknya bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Katanya, program itu juga berpotensi diperluaskan pada masa hadapan dengan menyediakan lebih banyak jenis peralatan mengikut keperluan bidang perniagaan yang diceburi penerima.
Mengenai kaedah permohonan, beliau berkata permohonan i-SEED ketika ini boleh dibuat melalui ketua komuniti India sebelum dibawa kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
Cadangan memperkenalkan sistem permohonan dalam talian pada masa hadapan turut diberi perhatian, namun pelaksanaannya masih belum dimuktamadkan.
“Maklumat lanjut berkaitan program ini boleh diperoleh melalui ketua komuniti India atau pejabat EXCO,” katanya.
Bantuan hasil kerjasama komuniti
Ketua Komuniti India Pandamaran, T. Ganesan berkata Pathmavathi sebelum ini mendapatkan bantuannya untuk memohon kerusi gunting rambut menerusi program i-SEED.
Katanya, selepas mendapati kerusi yang digunakan Pathmavathi sudah lama, beliau menghubungi Ketua Penyelaras i-SEED bagi mendapatkan bantuan yang bersesuaian.
“Sekarang bantuan sudah diterima dan beliau sangat gembira. Kami juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana membantu peniaga seperti beliau,” katanya.
Bagi Pathmavathi, dua kerusi baharu itu bukan sekadar kelengkapan perniagaan, malah menjadi suntikan semangat untuk terus mengusahakan perniagaan yang telah diceburinya sejak 36 tahun lalu.








