
SHAH ALAM, 2 OKT: Belanjawan Selangor 2027 perlu menyediakan peruntukan mencukupi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut keperluan setempat bagi memastikan pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan awam dilaksanakan dengan berkesan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad berkata sokongan bersasar daripada Kerajaan Negeri termasuk bagi projek infrastruktur dan saliran, peningkatan keupayaan PBT serta program komuniti penting untuk memperkukuh ekonomi setempat.
Beliau berkata pembangunan ekonomi dan teknologi juga perlu bergerak seiring dengan keperluan kemudahan awam supaya manfaat pembangunan dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
“Antara cabaran utama ialah memastikan kemudahan awam dan jaringan jalan raya mampu memenuhi keperluan penduduk yang semakin berkembang seiring dengan peningkatan pembangunan dan pertambahan penduduk dan kawasan berkenaan.
“Sokongan Kerajaan Negeri dari segi peruntukan, kepakaran teknikal dan penyelarasan antara agensi dapat membantu PBT melaksanakan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan mampan,” katanya kepada Media Selangor.
Ani berkata peruntukan yang mencukupi dan berdasarkan keperluan setempat penting bagi membolehkan PBT merancang kerja penyelenggaraan serta pelaksanaan projek dengan lebih teratur dan mengikut keutamaan kawasan masing-masing.
Pada masa sama, katanya, setiap pelaksanaan projek perlu disertai pemantauan yang telus bagi memastikan peruntukan digunakan secara berkesan serta memberi manfaat kepada penduduk.
Ani turut berharap Belanjawan Selangor 2027 terus memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan seimbang selain memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan PBT dalam menangani keperluan penduduk.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.23 bilion menerusi Belanjawan Selangor 2026, merangkumi RM1.86 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.37 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Ketika membentangkan belanjawan berkenaan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menetapkan kelestarian alam sekitar dan kebitaraan infrastruktur sebagai antara enam tekad pentadbiran.
Usaha Reformasi PBT turut diteruskan dengan memberi fokus kepada penyelarasan serta pemendekan tempoh kelulusan bagi beberapa perkhidmatan berisiko rendah termasuk permit ubah suai kediaman dan lesen penjaja.







