SHAH ALAM, 2 OKT: Masalah tapak sampah haram dan pembakaran terbuka di sekitar Sungai Tangkas, Kajang masih berulang walaupun beberapa tindakan penguatkuasaan sudah diambil sebelum ini.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata pihak tidak bertanggungjawab sering berpindah ke lokasi lain selepas tindakan dikenakan.
Katanya, keadaan itu menyukarkan usaha penguatkuasaan kerana kawasan berkenaan mempunyai banyak lorong tikus dan jalan masuk.
“Walaupun tindakan penguatkuasaan diambil termasuk terhadap pemilik, pihak tidak bertanggungjawab ini akan mengubah tempat dan kawasan untuk membuang sampah.
“Juga ada banyak lorong tikus dan jalan yang masuk ke kawasan tersebut. Maka ia menjadi cabaran kepada penguat kuasa untuk pantau sepenuhnya,” katanya kepada Media Selangor.
Syahredzan berkata satu operasi besar-besaran dan bersepadu diperlukan bagi menangani masalah itu dengan lebih berkesan.
Menurutnya, operasi berkenaan perlu melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan dipacu Kerajaan Negeri.
Dalam masa sama, Pejabat Parlimen Bangi bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) baharu di kawasan berkenaan.
Sistem bernilai RM27,128.40 itu merangkumi tiang, panel solar dan langganan storan awan. CCTV lama sebelum ini telah dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, kebakaran berlaku lagi di tapak pembuangan sampah haram di Jalan Cemerlang, Sungai Tangkas tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata kebakaran melibatkan kawasan kira-kira 70 x 20 kaki.
Beliau berkata enam anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi dan operasi pemadaman akan diteruskan esok menggunakan jengkaut.
Masalah pembuangan sampah haram dan pembakaran terbuka di kawasan itu sudah berlaku sejak sekian lama.
Pada Januari lalu, kebakaran di tapak sama mengambil masa tiga hari untuk dipadamkan, manakala wayar CCTV turut dipotong pihak tidak bertanggungjawab.








