KAJANG, 15 JAN: Pasar Awam Seksyen 1, Bandar Baru Bangi bakal berwajah baharu apabila kemudahan di situ siap dinaik taraf demi keselesaan peniaga dan pengunjung, kata ahli parlimen Bangi.
Menerima peruntukan RM400,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerja naik taraf bermula November tahun lalu dijangka siap Februari ini, menurut Syahredzan Johan.
Beliau menjelaskan pasar yang dibuka sekitar 90-an ditambah baik meliputi pemasangan jubin, mengecat, menukar bumbung dan turapan semula sekitar kawasan berkenaan.
[caption id="attachment_682155" align="aligncenter" width="718"] Penduduk sekitar membeli barang keperluan harian ketika tinjauan di Pasar Awam Seksyen 1, Bandar Baru Bangi pada 15 Januari 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Kerja naik taraf tidak mengganggu 26 peniaga di sini kerana mereka masih boleh berniaga seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke pasar tersebut.
Tambahnya lagi, pasar awam tersebut menjadi tumpuan penduduk setempat khususnya dari Seksyen 1 hingga 4 berikutan tiada kemudahan itu di kawasan lain.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pasar Awam Seksyen 1 Roslina Hussin, 62, mewakili peniaga lain berterima kasih kepada kerajaan berikutan meluluskan peruntukan menaik taraf pasar tersebut.
“Peniaga memang ternanti-nanti pasar ini dinaik taraf. Pasar ini tidak teruk, cuma simen pecah dan lecak, khuatir membahayakan semua. Kami berharap selepas ini kedai makan di kawasan pasar ini juga dinaik taraf,” katanya.