Tanah runtuh di Taman Jasmin, penghuni lapan rumah diarah berpindah

9 Nov 2026, 7:33 AM
Tanah runtuh di Taman Jasmin, penghuni lapan rumah diarah berpindah

SHAH ALAM, 9 NOV: Penghuni lapan rumah di Taman Jasmin, Kajang dinasihatkan berpindah sementara sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan kira-kira jam 7 malam semalam.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat melanda Kajang sehingga menyebabkan sebahagian cerun di belakang kediaman penduduk runtuh.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada kecederaan atau kerosakan langsung pada rumah penduduk dilaporkan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, para penghuni lapan buah rumah di situ telah dinasihati untuk keluar dari rumah mereka,” katanya menerusi Instagram.

Susulan kejadian itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jasmin bagi menempatkan penduduk terjejas.

Namun, menurut Syahredzan, kebanyakan penduduk memilih untuk tinggal sementara di lokasi lain dan tidak perlu mendapatkan perlindungan di PPS berkenaan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan penduduk terjejas bersama wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Khairul Amal bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan mereka.

Syahredzan turut memaklumkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong menyediakan penginapan hotel sementara kepada sebahagian penghuni yang terjejas.

Menurutnya, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pula sedang giat memasang kanvas di kawasan cerun yang runtuh bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

“Saya akan mendapatkan laporan penuh mengenai insiden ini daripada pihak berkuasa dan MPKj,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.