SHAH ALAM, 5 APR: Majlis ‘Santai Raya Bangi’ anjuran Parlimen Bangi tetap meriah dengan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung di Stadium Kajang walaupun hujan pada lewat petang, semalam.
Majlis berlangsung dalam dua sesi iaitu 5.30 hingga 7 malam dan 7.30 hingga 9.30 malam.
Pelbagai aktiviti disediakan termasuk jamuan, cabutan bertuah, peraduan dan persembahan kebudayaan bagi mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata sambutan menggalakkan mencerminkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu.
“Perbezaan budaya dan agama bukan penghalang, sebaliknya menjadi kekuatan dalam membina identiti Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba mencetuskan sentimen sensitif.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya bersedia dan mengamalkan penjimatan susulan krisis tenaga akibat konflik di Asia Barat.










