ad

RM30,000 disalur untuk baik pulih kemudahan awam di Pangsapuri Seri Anggerik Bangi

9 Nov 2025, 1:30 PM
RM30,000 disalur untuk baik pulih kemudahan awam di Pangsapuri Seri Anggerik Bangi

SHAH ALAM, 9 NOV: Parlimen Bangi menyalurkan bantuan sebanyak RM30,000 untuk baik pulih penempatan penduduk Pangsapuri Seri Anggerik, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi melalui Projek Mesra Rakyat 2025.

Ahli Parlimennya, Syahredzan Johan berkata projek berkenaan merangkumi kerja membaik pulih tiga rumah sampah, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta baik pulih alatan di taman permainan yang di kawasan pangsapuri tersebut.

“Saya berharap apa yang telah dibuat ini dapat memberi manfaat kepada penduduk di sini. Kita juga mahu semua penduduk bekerjasama menjaga kemudahan supaya persekitaran komuniti sentiasa bersih dan terjaga,” kata sewaktu membuat tinjauan di pangsapuri berkenaan semalam.

Syahredzan turut menegaskan bahawa projek seperti ini penting dalam membina semangat kejiranan dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar.

Untuk rekod, sebanyak RM67 juta peruntukan diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membiayai pelbagai projek kecil dan infrastruktur awam di Selangor tahun ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan meliputi empat jenis projek iaitu Projek Mesra Rakyat (PMR) dengan siling RM44 juta dan Projek Infrastruktur Awam/Asas Rakyat (PINTAR) berjumlah RM4.5 juta.

Perlaksanaan projek ini katanya bagi melengkapkan Rancangan Pembangunan Lima Tahun (RMLT) selain meningkatkan imej kerajaan melalui projek yang memenuhi keperluan rakyat.

“Usaha ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan menyediakan kemudahan serta infrastruktur asas bagi menangani permasalahan dihadapi rakyat,” katanya.