SHAH ALAM, 29 NOV: Hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang pertanian dan bioteknologi bukan sekadar untuk tujuan akademik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memanfaatkan petani, industri dan masyarakat.
Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Juju Nakasha Jaafar berkata universiti kini memberi penekanan terhadap usaha pemindahan ilmu dengan menggalakkan pensyarah dan pelajar turun ke lapangan bagi berkongsi kepakaran dengan komuniti.
“Sekarang ini semua hasil kajian kita tidak boleh disimpan dalam bilik dan makmal sahaja.
“Kalau dahulu, hasil kajian akan dibentangkan, tetapi kaedah itu tidak sampai kepada komuniti, akar umbi yang menggerakkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor bertajuk Dari Kampus ke Meja Makan: Apa Peranan UPM, baru-baru ini.

Menurutnya, antara contoh penyelidikan yang dimanfaatkan masyarakat ialah kajian terhadap lapan jenis media tanaman bagi mengenal pasti kaedah terbaik menghasilkan mikrohijau atau microgreen.
Jelas beliau, hasil kajian itu kemudiannya dikongsi dengan komuniti dalam bentuk panduan penanaman yang lebih mudah difahami dan diamalkan.
Malah, katanya, orang ramai yang berdepan masalah tanaman atau ingin mempelajari teknik pertanian boleh mendapatkan khidmat bimbingan pakar secara percuma menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM.
“Sekiranya komuniti mempunyai masalah, contohnya hendak bercucuk tanam tetapi tidak tahu caranya atau hasilnya tidak seberapa, mereka boleh datang ke pusat itu.
“Pusat itu akan memanggil pakar yang sesuai untuk memberi tunjuk ajar kepada komuniti dan itu adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Prof Madya Dr Mariatulqabtiah Abdul Razak berkata inovasi yang dibangunkan universiti perlu mengambil kira keperluan sebenar petani supaya dapat digunakan secara berkesan.
“Daripada universiti kita hasilkan inovasi dan teknologi, tetapi teknologi dan inovasi itu perlulah yang diperlukan oleh petani, supaya kemudian mudah diaplikasikan kepada petani,” katanya.
Beliau menjelaskan penyelidikan di universiti lazimnya dilaksanakan pada skala kecil, justeru kerjasama industri diperlukan bagi meningkatkan skala pengeluaran menerusi penggunaan teknologi secara lebih meluas.
Menurutnya, perkongsian kepakaran bukan sekadar daripada penyelidik kepada petani, sebaliknya turut membabitkan pertukaran pengetahuan dan pengalaman antara kedua-dua pihak.
“Kita belajar daripada mereka. Mereka yang menanam, mereka yang berada di ladang, mereka tahu. Jadi kita pula belajar dan mereka juga belajar daripada kita, sama-samalah belajar,” katanya.

Dr Mariatulqabtiah berkata antara contoh pemindahan ilmu dalam bidang bioteknologi kepada masyarakat ialah penggunaan teknologi bagi menghasilkan esen dan serbuk pandan.
Katanya, UPM sudah mengadakan beberapa siri perkongsian ilmu termasuk bersama kariah masjid bagi menunjukkan kaedah mengekstrak pandan untuk menghasilkan produk berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara petani, universiti, industri dan kerajaan dalam membentuk ekosistem pengeluaran makanan yang lengkap, sekali gus memastikan hasil inovasi dapat dimanfaatkan masyarakat.








