SHAH ALAM, 2 OKT: Sebanyak RM30,000 diperuntuk bagi melaksanakan beberapa projek penambahbaikan infrastruktur di tiga lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer secara berperingkat.
Wakil rakyatnya Anfaal Saari berkata projek berkenaan melibatkan penambahbaikan susur gajah di Sekolah Kebangsaan (SK) 1 Selayang Baru, Surau SK Selayang Baru 2 serta Surau Flat Camar.
Katanya, kerja di Surau SK Selayang Baru 2 membabitkan cadangan pemasangan dan naik taraf penyaman udara, manakala penggantian karpet dicadangkan di Surau Flat Camar.
“Pelaksanaan projek secara berperingkat ini turut mengambil kira keperluan masyarakat dan kita berharap ia sedikit sebanyak memberi manfaat kepada komuniti,” katanya kepada Media Selangor.

Anfaal berkata kesemua projek berkenaan dijangka siap dalam tempoh sebulan selepas lawatan tapak dilakukan bagi mengenal pasti keperluan sebenar di setiap lokasi.
“Insya-Allah, usaha penambahbaikan akan diteruskan secara berperingkat mengikut keperluan dan peruntukan yang tersedia demi keselesaan serta manfaat warga DUN Taman Templer.
“Kita terus turun padang, kita terus bekerja untuk rakyat,” katanya.







