RM50,000 naik taraf pusat komuniti Dataran Taman Templer B

2 Ogos 2026, 5:30 AM
RM50,000 naik taraf pusat komuniti Dataran Taman Templer B

SHAH ALAM, 2 OGOS: Pusat kegiatan penduduk di Dataran Taman Templer B, Bandar Baru Selayang bakal dinaik taraf menerusi peruntukan RM50,000 di bawah Projek Kita Selangor Penyayang bagi memastikan kemudahan komuniti itu terus selesa digunakan.

Wakil rakyat Taman Templer, Anfaal Saari berkata kerja baik pulih melibatkan balai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan pusat kegiatan persatuan penduduk itu susulan beberapa kerosakan yang dikenal pasti, termasuk bumbung, struktur bangunan serta bahagian yang terjejas akibat serangan anai-anai.

“Antara yang mengalami kerosakan adalah bumbung yang ditiup angin dan ada bahagian yang telah dimakan anai-anai sehingga mereput seperti di bahagian tingkap.

“Kita akan datang melawat tapak dan memastikan bahagian yang perlu diberi keutamaan dalam peruntukan RM50,000 tersebut,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut Anfaal, kemudahan berkenaan memainkan peranan penting sebagai lokasi pertemuan penduduk selain menjadi tempat pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti oleh Persatuan Penduduk Dataran Templer B dan KRT.

“Tempat ini menjadi ruang mereka berhimpun untuk aktiviti yang mungkin tidak besar, tetapi cukup penting sebagai tempat menyatukan penduduk di situ,” katanya.

Beliau berharap kerja baik pulih itu dapat memberi keselesaan kepada masyarakat setempat selain memastikan kemudahan komuniti berkenaan terus dimanfaatkan untuk aktiviti kemasyarakatan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.