PETALING JAYA, 1 OKT: Rundingan kerjasama Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diputuskan minggu depan.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini rundingan dengan semua pihak masih dibuka termasuk Barisan Nasional (BN), dengan keutamaan diberikan kepada usaha mencapai kemenangan serta memenuhi kepentingan rakyat.
“Menjelang minggu depan, saya rasa kita mungkin dapat sesuatu. Buat masa ini, saya melihat semua kemungkinan masih terbuka dan pintu rundingan juga masih terbuka.
"Kita berunding dengan semua pihak, tetapi keutamaannya sangat mudah. Keutamaan pertama tentunya adalah kemenangan pihak kita dan setiap pihak juga mempunyai kepentingan masing-masing,” katanya selepas merasmikan Pusat Perubatan Sunway Damansara, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kestabilan politik menjadi elemen penting dalam membentuk sebarang kerjasama politik memandangkan ia mempengaruhi ekonomi selain membantu menangani pelbagai keadaan termasuk berdepan krisis.
“Kestabilan politik mesti menjadi keutamaan bagi setiap gabungan yang dibentuk. Perkara kedua ialah manfaatnya kepada rakyat, khususnya bagaimana kita mahu bantu golongan miskin, menangani dasar perumahan dan sebagainya.
"Ketiga, sudah tentunya ia perlu menghasilkan situasi yang memberikan manfaat kepada semua pihak," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun.
Jelasnya, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh penting PRN Melaka termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.
DUN Melaka mempunyai 28 kerusi, manakala mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal.







