Amirudin: HARAPAN catat peningkatan sokongan di beberapa kawasan Melaka

15 Nov 2026, 12:00 PM
Amirudin: HARAPAN catat peningkatan sokongan di beberapa kawasan Melaka

KLANG, 15 NOV: Analisis awal menunjukkan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencatatkan peningkatan sokongan di beberapa kawasan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk dalam kalangan pengundi muda.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan itu bagaimanapun masih belum mencukupi kerana kejayaan membentuk kerajaan bukan hanya bergantung pada kekuatan sesebuah gabungan, sebaliknya memerlukan penjajaran politik yang lebih luas.

“Ada peningkatan dan peningkatan itu kita rasa juga ada positif wave di kalangan anak muda. Cuma kita yakin masih ada masa untuk kita pergiatkan dan perkembangkan lagi pada masa depan kejayaan kita bersama.

"Ini bukan soal gabungan atau sokongan kepada gabungan tetapi bagaimana penjajaran politik harus difikirkan untuk membentuk sebuah kerajaan.

"Akhirnya di Malaysia, resipi kejayaan membentuk kerajaan ialah melalui gabungan yang berjaya dan sekarang gabungan itu bukan parti-parti tapi coalition antara gabungan-gabungan dan itu harus difikirkan dengan teliti," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Karnival Pendidikan Digital Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, peningkatan sokongan dalam kalangan pengundi Melayu dan golongan muda merupakan perkembangan positif, namun usaha memperkukuh sokongan itu perlu diteruskan.

Beliau bagaimanapun berkata, analisis lebih terperinci masih diperlukan bagi menilai prestasi HARAPAN di Melaka memandangkan angka lengkap belum diperoleh.

“Undi PH kekal dan bertambah di beberapa kawasan, ada pertambahan undi yang agak menarik. Adly (calon PH DUN Bukit Katil) bertambah dari 6,000 ke 8,000.

“Saya tak tengok detail lagi, di Melaka saya lihat ada pertambahan juga, tetapi belum dapat angka yang jelas. Jadi, saya percaya ia bukan hanya soal strategi kita dalam pilihan raya, ia adalah strategi membentuk gabungan dan juga kesepakatan antara komponen-komponen politik,” katanya.

Semalam, Pengerusi HARAPAN Melaka, Adly Zahari berkata HARAPAN menerima dengan hati terbuka keputusan PRN Melaka serta menghormati mandat rakyat, meskipun hanya memenangi empat daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Menurut Adly, keputusan itu akan dijadikan ruang untuk parti berkenaan menilai prestasi serta memperkukuh usaha dan gerak kerja bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap gabungan itu pada masa hadapan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.