Sultan Selangor bawa 149 anak yatim naik kapal terbang

1 Okt 2026, 5:03 AM
Sultan Selangor bawa 149 anak yatim naik kapal terbang
Sultan Selangor bawa 149 anak yatim naik kapal terbang
Sultan Selangor bawa 149 anak yatim naik kapal terbang
Sultan Selangor bawa 149 anak yatim naik kapal terbang

SUBANG, 1 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyantuni kira-kira 149 anak yatim menerusi program Pengalaman Penerbangan (Joyride Flight) Kembara Semenanjung di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang hari ini.

Istana Alam Shah menerusi kenyataan memaklumkan program itu menandakan bermulanya secara rasmi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor sepanjang Oktober ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, berkenan berangkat kira-kira jam 9 pagi bagi menghantar anak-anak yatim berkenaan menikmati pengalaman penerbangan istimewa.

Program kendalian Tourism Malaysia itu melibatkan anak yatim daripada 29 rumah kebajikan yang diselaraskan Selangor Youth (SAY) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Mereka menaiki pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Batik Air bagi penerbangan selama sejam melalui ruang udara Pulau Pinang menuju ke Langkawi sebelum berpatah balik ke Subang.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyantuni anak-anak yatim di dalam pesawat sempena program Pengalaman Penerbangan (Joyride Flight) Kembara Semenanjung bagi Sambutan 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut Istana Alam Shah, Baginda mahu memberikan pengalaman kembara dan penerbangan yang mungkin jarang dinikmati golongan berkenaan, sekali gus mencipta kenangan bermakna buat mereka.

“Pendedahan kepada pengalaman baharu, interaksi sosial dan aktiviti luar juga diharapkan dapat meningkatkan keyakinan diri serta menyuntik motivasi untuk mereka terus melangkah maju.

“Pada masa yang sama, program ini memupuk semangat kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan serta kesejahteraan anak-anak yatim,” menurut kenyataan itu.

Program sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor itu turut membuka ruang kepada peserta menghayati nilai patriotisme serta menyemai kecintaan terhadap institusi Kesultanan Selangor.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Tengku Amir Shah turut mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja terhadap kesejahteraan anak-anak yatim agar mereka turut disantuni dan diraikan dalam sambutan bersejarah berkenaan.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyantuni anak-anak yatim sempena program Pengalaman Penerbangan (Joyride Flight) Kembara Semenanjung bagi Sambutan 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 1 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.