Subang Jaya intai pasaran global menerusi kerjasama bandar kembar

1 Okt 2026, 4:00 AM
Subang Jaya intai pasaran global menerusi kerjasama bandar kembar

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan mencadangkan kerjasama bandar kembar dengan Wuxi di China, Muscat (Oman) dan Makassar di Indonesia bagi memperluas akses perniagaan tempatan ke pasaran antarabangsa.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Rumaizi Baharin berkata objektif utama kerjasama antara bandar itu dilihat mampu membantu memperkenalkan produk dan keupayaan tempatan ke peringkat global.

Beliau yang juga bekas Datuk Bandar Ipoh berkata manfaat hubungan seumpama itu boleh dilihat menerusi kerjasama bandar kembar antara Ipoh, Perak dan Fukuoka, Jepun yang terjalin sejak 1989.

“Hubungan bandar kembar tersebut meningkatkan profil budaya Ipoh di peringkat global sehingga kopi putih Ipoh dikenali.

“Ia malah menduduki tempat ke-10 dalam senarai 39 Kopi Terbaik Dunia yang dikeluarkan portal panduan pelancongan kulinari TasteAtlas pada 2024,” katanya ketika mesyuarat penuh MBSJ di ibu pejabatnya, semalam.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Rumaizi Baharin mempengerusikan mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di ibu pejabat MBSJ, Persiaran Perpaduan, USJ5 pada 30 September 2026. Foto Facebook MBSJ

Rumaizi berkata hubungan rasmi antara kerajaan tempatan turut boleh menjadi pemudah cara kepada kerjasama ekonomi selain pertukaran budaya dan pendidikan.

Menurutnya, hubungan dengan Wuxi berpontensi membantu pemain industri tempatan mendapatkan akses lebih baik ke pasaran China, termasuk menerusi sokongan pihak berkuasa tempatan.

“Ini boleh membuka peluang kepada pemain industri Malaysia untuk menembusi pasaran China,” katanya.

Beliau berkata Muscat pula menawarkan potensi dalam sektor teknologi, termasuk pemasaran produk, tenaga pengatur cara dan penyelesaian perisian dari Malaysia.

“Selangor juga mempunyai penawaran sedia ada, termasuk platform Selmax,” katanya.

Rumaizi berkata penyertaan dalam rangkaian Bandar Pintar Islam turut berpotensi membuka akses lebih luas kepada pasaran Timur Tengah, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Kuwait.

Bagi Makassar, beliau berkata kerjasama boleh memberi tumpuan kepada sektor pelancongan kesihatan dan pendidikan, berikutan peningkatan kecenderungan rakyat Indonesia mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.