PETALING JAYA, 1 OKT: Sejak usianya 15 tahun, Bukhari Zulkifeli bergelut dengan ketagihan dadah. Kini pada usianya 30 tahun, beliau membina semula kehidupan menerusi kemahiran pertanian lestari selain menyumbang kepada pusat pemulihan dan komuniti setempat.
Bukhari yang sudah tamat proses pemulihan di Rumah Sahabat Hulu Langat, menerima Anugerah Kelestarian The King’s Trust International (KTI) pada Hari Anugerah Selangor Youth Community (SAY) TEAM 2026 semalam atas usaha beliau dalam bidang pertanian lestari.
Beliau mengaplikasikan kaedah pengkomposan dan permakultur bagi menyokong pusat pemulihan berkenaan serta komuniti di sekitarnya.
Kemahiran itu diperoleh menerusi Program TEAM anjuran SAY, iaitu inisiatif pembangunan diri dan profesional secara intensif selama sembilan minggu bagi memperkasa belia Malaysia berisiko serta membantu mereka kembali berintegrasi dalam masyarakat.
“Melalui program ini, saya banyak belajar menerusi bengkel kemahiran. Banyak perkara yang sebelum ini saya tidak tahu atau tidak pernah alami dan saya juga berpeluang bertemu orang baharu.
“Apabila berinteraksi dengan orang di sekeliling, saya mendapat pelbagai penyelesaian dan mempelajari perkara yang sebelum ini tidak saya ketahui. Melalui perkongsian, saya dapat belajar dan perkara itu menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran saya,” katanya kepada Media Selangor selepas majlis anugerah.

Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan peserta yang menyertai Program TEAM, hasil kerjasama SAY dan KTI.
Bukhari kini turut membantu ibunya yang sudah berusia menguruskan keperluan keluarga, termasuk menghantar adik-adiknya ke tempat kerja.
Beliau berkata Program TEAM wajar diteruskan dan diperluas kepada komuniti yang masih belum berpeluang menyertainya.
“Pada pandangan saya, selepas mengikuti program yang dianjurkan kerajaan negeri ini, saya percaya program ini perlu diteruskan di lebih banyak komuniti.”

Sementara itu, penerima Anugerah Ketekunan SAY TEAM, Nor Mazlina Maulat Mazlan berkata sokongan merupakan antara faktor paling penting dalam membantu individu dalam proses pemulihan membina semula kehidupan mereka.
“Saya rasa kesan paling besar ialah sokongan. Bagi individu dalam proses pemulihan, perkara yang paling memberi kesan kepada diri kita ialah sokongan,” katanya.
Mazlina menerima anugerah itu atas ketabahannya mengatasi ketagihan selain usaha berterusan membantu individu lain yang melalui keadaan sama.
Beliau berkata fasilitator Program TEAM menyediakan sistem sokongan yang dipercayai, sekali gus membolehkannya berkongsi masalah yang dihadapi sepanjang proses pemulihan.
“Semua fasilitator saya sangat menyokong. Setiap kali ada masalah, mereka akan berkata, ‘Kamu boleh bercakap mengenainya’. Saya rasa saya memerlukan orang yang boleh dipercayai dan mereka ialah orang yang saya percayai,” katanya.

Mazlina turut menekankan kepentingan mempunyai lingkungan sokongan yang positif kerana pengaruh negatif boleh menjejaskan proses pemulihan.
“Saya rasa apabila terdapat program seperti ini, orang ramai dapat melihat bahawa kami juga manusia biasa dan ia dapat membantu mengurangkan stigma terhadap kami,” katanya.







