132 pemain sertai Kejohanan Golf Amal SAY

30 Nov 2025, 2:56 AM
132 pemain sertai Kejohanan Golf Amal SAY
132 pemain sertai Kejohanan Golf Amal SAY
132 pemain sertai Kejohanan Golf Amal SAY
132 pemain sertai Kejohanan Golf Amal SAY

SHAH ALAM, 30 NOV: Seramai 132 pemain daripada sektor kerajaan dan swasta menyertai Kejohanan Golf Amal anjuran Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Albukhary dan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) pada Sabtu, bertempat di Kota Permai Golf & Country Club, di sini.

Acara berprestij itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah merangkap penaung diraja SAY.

SAY dalam kenyataan berkata, kejohanan edisi 2025 bukan sahaja meraikan sukan golf, malah menonjolkan kuasa kebaikan kolektif apabila pemain pelbagai peringkat kemahiran bersama-sama menyokong TEAM Programme Malaysia.

Inisiatif tersebut dijalankan dengan kerjasama The King’s Trust International, organisasi bukan berasaskan keuntungan di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Charles III.

"Melalui pendidikan, bimbingan dan pemerkasaan, TEAM Programme Malaysia telah memberi impak kepada lebih 500 belia berisiko dalam tempoh lima tahun, termasuk remaja pesalah, belia tanpa penjaga, belia NEET (Not in Education, Employment or Training) serta mereka yang berdepan isu penyalahgunaan dadah," katanya.

Menurut SAY, program itu menyasarkan untuk mencapai tambahan 150 hingga 200 belia pada tahun akan datang, disokong fasa pasca perkembangan selama enam bulan.

Kejohanan sehari yang dianjurkan DYTM Tengku Amir Shah itu turut menawarkan aksi golf mengujakan serta komitmen jelas untuk membawa perubahan dalam kehidupan belia Malaysia.

Penganjur berharap usaha membuka potensi golongan belia ini dapat menginspirasi perubahan positif dalam komuniti dan masyarakat.

"Acara ini menjadi ruang bagi semua yang hadir untuk turut serta membentuk masa depan yang lebih baik, satu kehidupan pada satu masa," katanya.