SHAH ALAM, 15 MAC: Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Rumah Kita serta beberapa pertubuhan kebajikan lain disantuni oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) sempena Program Ziarah Ramadan 2026, semalam.
Bertempat di Rumah Kita, Jalan Pandan 8, Pandan Jaya, program berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Yang Mulia Datin Paduka Afzaa Fadini Dato' Abdul Aziz.
Menurut kenyataan MPAJ di Facebook, program berkenaan bertujuan mengukuhkan hubungan antara agensi, komuniti serta menyantuni golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan yang mulia.

Majlis turut diserikan dengan ucapan wakil penaja sebelum penyerahan cek bantuan dan duit raya kepada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Rumah Kita serta beberapa pertubuhan lain.
Sebagai simbolik program, turut diadakan gimik penanaman pokok yang disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah.
Program berakhir dengan Tengku Amir Shah mencemar duli melawat rumah kebajikan berkenaan bagi meninjau suasana serta menyantuni penghuni secara langsung.








