Raja Muda Selangor gesa pertandingan sukan akar umbi diperbanyak

27 Ogos 2026, 12:33 PM
Raja Muda Selangor gesa pertandingan sukan akar umbi diperbanyak

PETALING JAYA, 27 OGOS: Kejayaan Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh pembangunan sukan pada peringkat akar umbi dengan menyediakan platform pertandingan yang konsisten kepada golongan muda.

Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah berkata pertandingan secara berkala penting bagi memastikan atlet muda bukan sahaja kekal aktif, malah mempunyai sasaran yang jelas dalam latihan serta membentuk minda kompetitif.

Baginda berkata pembangunan sukan akar umbi sentiasa dekat di hatinya, termasuk menerusi penglibatan bersama Selangor Youth Community (SAY) sebelum baginda lebih aktif dalam bidang bola sepak.

"Jika kita mahu terus membangunkan sukan ini, golongan muda perlu bermain dan bertanding secara berkala, setiap hujung minggu.

"Apabila pertandingan disediakan, mereka mempunyai sebab untuk berlatih sepanjang minggu selain membina minda untuk menang dan mencapai matlamat. Minda sedemikian akan menjadi pemacu kepada pembangunan semua jenis sukan," kata baginda.

Tengku Amir Shah berkata demikian ketika menjawab soalan moderator pada program NADI Connecting Wellness, Fitness and Sports With RMS sebelum merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Baginda turut menyifatkan pemilihan beberapa jenis sukan untuk dipertandingkan pada SUKMA 2026 Selangor sebagai langkah tepat kerana ia memberi peluang kepada atlet muda menampilkan kualiti, semangat kesukanan dan daya saing dalam pelbagai disiplin.

Selangor selaku tuan rumah dinobatkan sebagai juara keseluruhan SUKMA 2026 selepas mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Sementara itu, Tengku Amir Shah berkata pengalaman baginda menubuhkan Liga Juara-Juara Selangor sebelum terlibat secara langsung dengan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menunjukkan bahawa pertandingan pada peringkat komuniti mampu membantu mengenal pasti bakat serta meningkatkan daya saing.

Baginda berkata liga berkenaan diwujudkan bagi menghimpunkan pasukan bola sepak sosial yang aktif di seluruh Selangor dalam satu platform kompetitif untuk menentukan pasukan terbaik.

Menurut baginda, pendekatan sama boleh diperluaskan kepada sukan lain yang semakin mendapat sambutan masyarakat seperti pickleball dan catur.

Terdahulu, program hari ini menghimpunkan 50 pemimpin dalam bidang kesihatan, kecergasan dan sukan bersama Tengku Amir Shah bagi menghimpunkan pandangan, memperkukuh komuniti serta membentuk hala tuju bersama bagi sektor berkenaan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.