SHAH ALAM, 28 NOV: Mangsa banjir di Selangor terus mencatatkan penurunan apabila 798 individu daripada 247 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Selangor setakat pagi ini.
Jumlah itu menunjukkan penurunan 31 mangsa berbanding semalam merekodkan 829 mangsa daripada 253 keluarga.
Berdasarkan data portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kuala Langat mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 757 individu daripada 235 keluarga di tiga PPS.
Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 735 individu daripada 229 keluarga.
Sementara itu, Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang menempatkan enam mangsa daripada dua keluarga, manakala Balai Raya Kampung Sungai Kelambu menempatkan 16 mangsa daripada empat keluarga.
Di Kuala Selangor, hanya satu PPS dibuka iaitu Sekolah Agama Batu 8 Ijok yang menempatkan 41 mangsa daripada 12 keluarga.










