SHAH ALAM, 27 NOV: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan kerja pembersihan longkang dan saliran di tiga lokasi secara berperingkat pada 23 hingga 25 November lalu sebagai persediaan menghadapi musim banjir.
Menerusi kenyataan di Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan kerja pembersihan membabitkan Jalan 1, Kompleks Perabot Olak Lempit dan Jalan Labohan Dagang-Nilai.
"Kerja-kerja pembersihan yang dilaksanakan meliputi pembersihan longkang tanah menggunakan jengkaut dan secara manual, pembersihan semak samun serta pemotongan rumput di kawasan yang dikenal pasti.
"Langkah ini bertujuan memperkukuhkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir serta membantu memastikan kawasan dan saliran yang dikenal pasti berada dalam keadaan lebih terurus," menurut kenyataan itu.
MPKL menambah, usaha itu dilaksanakan demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat serta membantu meningkatkan keberkesanan sistem saliran bagi melancarkan aliran air, khususnya ketika musim hujan.







