SHAH ALAM, 29 NOV: Seramai 536 mangsa banjir daripada 168 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Langat setakat 9.43 pagi ini.
Berdasarkan papan pemuka InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kedua-dua PPS yang masih beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang dan Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang.
SK RTB Bukit Changgang menempatkan 522 mangsa daripada 164 keluarga, manakala Dewan Orang Ramai Kampung Labohan Dagang menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga.
Daripada keseluruhan mangsa, seramai 189 lelaki dewasa dan 159 wanita dewasa, selain 169 kanak-kanak serta bayi.
Turut terjejas ialah 27 warga emas dan 24 orang kurang upaya (OKU).
Kedua-dua PPS berkenaan mula dibuka pada 25 dan 26 November lalu susulan kejadian banjir di kawasan berkenaan.







